Pergolakan Dalaman PPBM Sudah Dijangka, Bawa Kesan Kepada Gabungan PN
Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari menyifatkan pergolakan dalaman antara pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan parti itu ditubuhkan tanpa asas perjuangan yang ikhlas dan jelas.
Menurut beliau, sejarah telah membuktikan bahawa mana-mana parti serpihan yang cuba menggantikan UMNO tidak mampu bertahan lama kerana lahir daripada rasa kekecewaan dan kepentingan peribadi.
“Mana-mana individu keluar daripada UMNO dan menubuhkan parti lain sebagai pengganti UMNO sejak Semangat 46 kemudiannya PPBM di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad dan kini Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Dari segi sejarahnya tidak akan bertahan lama kerana parti ini ditubuh atas kerana mereka ini tidak ikhlas dalam perjuangan, lihat apabila UMNO dalam keadaan lemah (selepas kekalahan pada Pilihan Raya Umum-14), mereka keluar kerana memikirkan survival masing-masing.
“Ini menunjukkan bahawa PPBM ditubuh kerana tidak mempunyai matlamat seperti mana UMNO. Mereka ini terdiri daripada kelompok yang lompat parti dan membawa orang yang bermasalah daripada parti-parti lain.
“Antaranya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali daripada PKR, antara individu yang membawa perpecahan dalam parti itu kemudiannya masuk PPBM,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.
Azhari juga berpandangan situasi ini akan memberi kesan kepada rakan gabungan Perikatan Nasional (PN) iaitu Pas yang sudah tentunya melihat senario tersebut membawa impak negatif kepada mereka.
Seterusnya kata Azhari ia akan memberi manfaat strategik kepada UMNO terutama mendepani pilihan raya akan datang.
“Saya lihat ini menjadi kelebihan kepada UMNO kerana dalam keadaan pergolakan yang hebat dalam PPBM, ia akan memberi impak positif kepada UMNO menjelang pilihan raya.
“Mereka (PPBM) akan berpecah malah saya berpandangan hubungan mereka dengan Pas juga akan terjejas kerana saya percaya Pas tidak lagi yakin untuk terus bersama dalam gabungan yang tidak stabil seperti ini,” katanya.
Apa Reaksi Anda?











