‘Jangan Lagi Langkah Sumbang, Strategi Perlu Realistik’

Oleh : BARD
Februari 16, 2026 - 11:00 MYT
‘Jangan Lagi Langkah Sumbang, Strategi Perlu Realistik’

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, mengingatkan bahawa dalam merangka strategi politik pertimbangan secara teliti dan realistik perlu diambil kira.

Beliau yang juga Menteri Luar menegaskan bahawa pendekatan yang digunakan tidak boleh disamaratakan kerana landskap politik di sesuatu kawasan adalah berbeza.

“Baca elok-elok supaya kita tidak tersalah congak, guna sifir yang betul kerana sifir di sini lain, di Negeri Sembilan lain, begitu juga di Kedah dan Terengganu yang berbeza. Jangan samakan.

“Fikir elok-elok, runding sebaiknya, kemudian bentangkan beberapa pilihan kepada pucuk pimpinan. Buat juga kajian sikap sebetulnya,” katanya.

Mohamad berkata demikian ketika Majlis Perasmian Pejabat UMNO Bahagian Selayang yang diadakan malam tadi, turut hadir Ketua UMNO Bahagian, Datuk Hasnal Rezua Merican serta kepimpinan bahagian.

Menurut beliau, parti tidak boleh selesa dengan andaian yang tidak berasaskan realiti semasa.

Sebaliknya kata beliau ia perlu berlandaskan kebenaran bagi mengenal pasti punca kelemahan dan seterusnya merangka penyelesaian yang tepat.

“Kita perlukan strategi yang betul selepas ini. Jangan lagi langkah sumbang. Susun dan langkah elelok-elok,” ujarnya.

Beliau turut menekankan keperluan menyesuaikan strategi dengan kehendak semasa, khususnya generasi muda.

Menurut beliau, aktiviti yang menarik minat anak muda perlu dianjurkan supaya mereka lebih dekat dengan parti dan terlibat secara aktif, sekali gus meningkatkan penglibatan generasi muda secara berterusan.

“Macam saya di Rantau, kita buat e-sukan, futsal antara cawangan dalam Dewan Undangan Negeri. Mereka suka perkara itu kita mesti ikut arus itu.

“Tidak boleh kata tidak mahu berubah, kalau tidak orang akan ubah kita,” tegasnya.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow