Strategi Media Sosial Penentu Keyakinan Pengundi Muda

Oleh : BARD
Februari 16, 2026 - 12:00 MYT
Strategi Media Sosial Penentu Keyakinan Pengundi Muda

Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Hasnal Rezua Merican menyifatkan platform media sosial perlu didekati lebih serius dan strategik sebagai medium utama untuk mendekati golongan muda.

Beliau berkata, ini kerana realiti politik semasa menunjukkan generasi muda banyak membentuk persepsi serta kecenderungan politik mereka melalui kandungan yang dilihat di platform digital.

“Anak muda ini kebanyakannya membulatkan sokongan berdasarkan kepada apa yang mereka lihat di media sosial.

“Dia jarang boleh bersemuka dengan tokoh-tokoh pemimpin atau terlibat dengan program-program tapi dia membentuk minda politik melalui apa yang diterima melalui media sosial.

“Jadi kita kena perbanyakkan kehadiran kita dalam media sosial because this is a new war,” katanya.

Hasnal berkata demikian ketika ditemui UMNO Online pada Majlis Perasmian Pejabat UMNO Bahagian Selayang yang diadakan malam tadi, dihadiri Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan kepimpinan bahagian.

Sementara itu beliau turut menyifatkan pendekatan komunikasi parti juga perlu lebih berani dan seimbang, khususnya dalam mendepani persaingan politik yang semakin mencabar.

Menurutnya, ini kerana gerak kerja di media sosial dan lapangan tidak boleh sekadar tertumpu kepada memperkenalkan parti semata-mata, sebaliknya perlu digerakkan secara lebih agresif.

“Di samping memperkenalkan parti, pada masa sama kita perlu bertindak secara lebih agresif tidak boleh hanya bersikap defensif, kita juga perlu berani menyerang dengan hujah dan fakta.

“Justeru, jika kita ingin menyerang, kita perlu meneliti serta membongkar kelemahan dan kegagalan pihak lawan yang boleh menghakis keyakinan anak muda serta pengundi muda terhadap parti-parti tersebut. Bukan sekadar menunjukkan bahawa kita mempunyai integriti dan tadbir urus yang baik.

“Barisan Nasional sebelum ini juga mempunyai rekod tatakelola yang baik. Namun, kita sering berada dalam keadaan defensif, lebih banyak mempertahankan identiti, tindakan dan pendekatan sendiri, berbanding menyasarkan kelemahan pihak lawan secara berkesan,” ujar beliau. 

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow