Akademi Rel Pahang tawar peluang pekerjaan generasi muda

Oleh : BARD
Disember 17, 2024 - 09:00 MYT
Akademi Rel Pahang tawar peluang pekerjaan generasi muda

Akademi Rel Pahang ditubuhkan bagi menawarkan peluang pekerjaan kepada generasi muda khususnya anak-anak Pahang dalam bidang penyelenggaraan kereta api.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Diraja Wan Rosdy Bin Wan Ismail berkata, setakat ini pihaknya menyasarkan 2,000 pelatih menyertai akademik itu dan memenuhi standard antarabangsa serta keperluan operasi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijadualkan bermula pada tahun 2027.

Menurutnya, mereka yang tamat latihan yang disediakan oleh Akademi Rel Pahang selama enam bulan akan diserap bekerja dengan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).

"Kita akan latih mereka dengan pelbagai kepakaran terutamanya dalam sektor teknikal dan rel. Bagi pengambilan pertama dijangka 200 hingga 300 pelatih, semua ditanggung kerajaan negeri.

"Permulaan kita ambil ikut keperluan kerana tidak mahu anak-anak muda yang dilatih tiada kerja. Di Pahang ada tujuh stesen yang boleh menempatkan mereka.

"Akademi ini adalah pertama di Malaysia dan kerajaan negeri Pahang memperuntukan sebanyak RM 5 juta untuk merealisasikannya.

"Empat bulan dari sekarang kita buat pelancaran dan saya percaya ia memainkan peranan penting dalam tenaga mahir," katanya di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas hadir menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara Naib Canselor UCYP University, Dato' Dr Muhammad Fauzi Mohd Zain mewakili UCYP University dan Ketua Pegawai Eksekutif MRL Sdn Bhd, Datuk Seri Darwis Abdul Razak.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah MRL Sdn Bhd, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Pengerusi Lembaga Pengarah KYP Education Sdn Bhd, Dato' Sri Shahaniza Shamsuddin.

Tambah Wan Rosdy, latihan ini dijangka berterusan dan jika terdapat lebihan, pelatih akan dibenarkan untuk mencari peluang pekerjaan dengan syarikat lain.

"Katakanlah ada lebihan atau tiba-tiba ada kerja lain, mereka boleh pergi namun setelah ada kebenaran dari MRL dan kerajaan negeri Pahang.

"Kita tidak statik dengan MRL dan tidak jumud mungkin boleh kembangkan, kita pun ada perancangan lapangan terbang di Pahang," ujarnya.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow