Anak Pahang Terbang ke Morocco: Bukti Keprihatinan Kerajaan Negeri dalam Melahirkan Ulama Bertaraf Dunia

Oleh : BARD
Ogos 20, 2025 - 14:23 MYT
Anak Pahang Terbang ke Morocco: Bukti Keprihatinan Kerajaan Negeri dalam Melahirkan Ulama Bertaraf Dunia

Seramai 13 pelajar lepasan Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang menerima tajaan istimewa daripada Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pahang dengan nilai geran RM10,000 seorang bagi melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pengajian Islam di Morocco.

Majlis penyerahan geran itu telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Lobi Majlis Perbandaran Bentong (MPB).

Dalam ucapannya, YAB Menteri Besar merakamkan tahniah kepada semua penerima tajaan dan menjelaskan bahawa penghantaran pelajar ke Morocco adalah hasil usaha diplomasi dan rundingan rasmi Kerajaan Negeri dengan pihak berkuasa negara tersebut.

“Tok Wan ucapkan syabas dan tahniah kerana berjaya melanjutkan pengajian di Morocco. Alhamdulillah, hasil lawatan kerja bersama kepimpinan Pahang ke sana, termasuk pertemuan dengan Menteri Wakaf dan Hal Ehwal Agama Islam Morocco, kita berjaya membuka ruang dan peluang untuk anak-anak Pahang menimba ilmu di bumi barakah itu,” katanya.

Dato’ Sri Wan Rosdy menegaskan, kemampuan Kerajaan Negeri menaja pelajar ke luar negara membuktikan bahawa Pahang berada dalam keadaan kewangan yang kukuh hasil urus tadbir yang baik dan telus.

“Kerajaan Negeri bukan sahaja menghantar pelajar ke Morocco, bahkan juga ke Mesir dan Jordan. Semua ini adalah hasil daripada pengurusan kewangan negeri yang mantap. Inilah bukti bahawa negeri yang diurus dengan baik mampu melabur kembali kepada rakyat, khususnya dalam bidang pendidikan,” jelas beliau.

Dalam masa yang sama, beliau turut berpesan agar para pelajar menjaga akhlak, mengimbangi ilmu duniawi dan ukhrawi, serta tidak terpengaruh dengan maklumat tidak sahih.

“Jangan lupa untuk berhubung dengan keluarga di tanah air. Ingatlah bahawa Pahang ini negeri kita, tidak ada orang lain yang akan menyayangi Pahang selain kita sebagai anak negeri. Doakan juga kesejahteraan pimpinan dan pegawai Kerajaan Negeri agar terus diberi ilham dalam mentadbir negeri,” tambahnya.

Kesemua pelajar ini merupakan kumpulan pertama yang berjaya ditawarkan pengajian di Universiti Al-Qarawiyyin, Morocco yang merupakan antara universiti Islam tertua di dunia hasil daripada lawatan kerja YAB Menteri Besar ke negara tersebut pada Februari 2024.

Daripada keseluruhan 15 kuota yang diperoleh, lima pelajar menerima tajaan penuh merangkumi yuran pengajian dan sara hidup, manakala 10 pelajar lagi mendapat tajaan yuran daripada Kerajaan Morocco, dengan sara hidup ditanggung Yayasan Pahang.

Bagi sesi pengajian tahun 2025, seramai 13 pelajar Pahang diterima masuk ke empat kampus utama iaitu Maahad Muhammad As-Saadis, Rabat; Massasah Dar Al-Hadith Al-Hasaniyyah, Rabat; Madrasah Al-Ulum Al-Islamiyyah, Casablanca; serta Jamie’ Al-Qarawiyyin, Fes.

Langkah ini membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam memastikan anak-anak Pahang bukan sahaja berjaya di peringkat tempatan, tetapi juga mampu menonjol di pentas antarabangsa.

Kerajaan Negeri di bawah pimpinan YAB Dato’ Sri Wan Rosdy terus konsisten dalam menyediakan peluang pendidikan berkualiti dari sumbangan biasiswa, program tajaan Yayasan Pahang, sehinggalah usaha melahirkan generasi ulama dan intelektual yang akan kembali berkhidmat kepada agama, negeri, dan negara.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow