Aset Vida berjaya dilelong RM1 juta
Semua barangan peribadi milik jutawan kosmetik, Datuk Seri Vida termasuk tiga kenderaan mewah berjaya dilelong dengan nilai keseluruhan RM1 juta pada Khamis.
Proses lelongan yang diadakan di kediaman beliau di Meru Heights itu bermula sekitar 10.30 pagi dan berakhir kira-kira 1.40 petang melibatkan dua pembida yang juga usahawan.
Bagaimanapun, hanya seorang daripada mereka, Norzamri Abdullah berjaya memperoleh keseluruhan barangan yang disenaraikan selepas seorang lagi pembida menarik diri.
Antara aset yang dilelong ialah sebuah Toyota Vellfire, Toyota Grand Hiace dan BMW X7 selain 727 barangan dalam rumah seperti set sofa, meja makan, televisyen, penghawa dingin, teleskop, gitar elektrik, piano, set karaoke, meja pool, hiasan dinding dan pasu.
Pelelong berlesen, S Punithawathi mengesahkan semua barangan sitaan itu berjaya dijual kepada pembida tersebut dengan bidaan akhir bernilai RM1 juta.
Barangan dalam rumah milik Vida atau nama sebenarnya Datuk Seri Hasmiza Othman, 54, disita selepas usahawan itu gagal menjelaskan bayaran baki tunggakan kepada syarikat kontraktor pembinaan, AH Design Communication sebanyak RM1,060,285 sejak 2018.
Lelongan ini telah ditangguhkan selama hampir setahun sebelum ini.
Sementara itu, peguam kepada pihak penuntut, Samir Zainal memaklumkan pembida yang berjaya perlu melengkapkan proses pembayaran kepada pihak mahkamah sebelum jam 4.30 petang hari sama.
Bagaimanapun katanya, masih terdapat baki tuntutan berjumlah kira-kira RM100,000 yang bayarannya akan ditentukan kemudian berdasarkan arahan dan perbincangan bersama anak guamnya.
"Saya difahamkan tuntutan bagi baki itu masih akan diteruskan tetapi jumlahnya tidak besar seperti sebelum ini.
"Mungkin akan ada proses susulan, sama ada melalui rundingan atau tindakan lain, namun ia bergantung kepada keputusan seterusnya," jelasnya.
Beliau turut mengesahkan seorang pembida menarik diri selepas harga tawarannya tidak menepati syarat mahkamah yang menetapkan bidaan minimum RM1 juta.
"Saya difahamkan barangan yang berjaya dibida ini tidak akan dikeluarkan hari ini (Khamis), hanya bayaran dibuat kepada mahkamah," katanya lagi.
Wakil syarikat subkontraktor H Design Communication, Mohamad Taufik Kamarulbari menzahirkan rasa lega dan berpuas hati dengan kelancaran proses lelongan.
"Alhamdulillah, proses hari ini berjalan dengan baik. Terima kasih kepada peguam saya, Encik Samir, serta semua pegawai mahkamah dan pelelong yang sangat profesional," katanya.
Apa Reaksi Anda?











