‘Mana Yang Dikatakan Pas Ada Tiga, Empat Lori Pemimpin Tu?’

Oleh : BARD
Oktober 30, 2025 - 11:00 MYT
‘Mana Yang Dikatakan Pas Ada Tiga, Empat Lori Pemimpin Tu?’

Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Datuk Ruzaini Rais mempersoalkan kewujudan para pemimpin Pas yang sebelum ini dikatakan ‘ada dua, tiga lori’.

Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis berkata, pelantikan Datuk Seri Shahidan merupakan satu penafian kepada keupayaan pemimpin Pas yang setia dari dulu, kini dan selamanya.

“Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli sekali lagi disingkirkan dari kedudukan politik Pas/Perikatan Nasional (PN) Perlis satu persatu. Cuma yang terselamat adalah sebagai Menteri Besar itu pun dikatakan kerana beliau besan kepada Presiden Pas.

“Tempat beliau sebagai Pengerusi PN diambil alih oleh Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga ditolak oleh akar umbi Pas Arau. Beliau hanya mendapat tiga pencalonan daripada 60 cawangan. Ini menyebabkan beliau tersingkir awal untuk bertanding jawatan Timbalan Yang di-Pertua Pas Arau.

“Pemilihan Datuk Seri Shahidan yang juga merupakan Presiden Persatuan Renang Malaysia ini merupakan satu penafian kepada keupayaan pemimpin Pas ‘batat’ (setia dulu, kini, selamanya) untuk memimpin PN Perlis,” katanya menerusi satu kenyataan.

Ujarnya, Shahidan bukanlah individu yang benar-benar mendalami perjuangan Pas/PN dan permusuhan beliau bersama parti itu ketika menjadi ahli UMNO masih berbekas.

“Tak sampai tiga tahun menjadi ahli Pas, beliau telah diangkat sebagai pemimpin Pusat dan Negeri yang merupakan satu tamparan hebat kepada ahli-ahli yang ‘batat’. Kita akan tertanya-tanya jugalah mana yang dikatakan Pas mempunyai tiga, empat lori pemimpin tu?

“Semua pengikut politik amat maklum yang Datuk Seri Shahidan bukanlah individu yang benar-benar mendalami perjuangan Pas dan PN. Permusuhan beliau terhadap Pas selama berpuluh tahun masih lagi berbekas dalam jiwa ahli-ahli Pas dan ini dibuktikan… beliau telah ditolak oleh akar umbi Pas di kawasan Arau.

“Menyingkap Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, terdapat pemimpin Pas Perlis yang menafikan malah tidak suka apabila kemenangan PN di Perlis dikaitkan dengan faktor Datuk Seri Shahidan yang dianggap mempunyai ‘sesuatu’. Kini jawapan terhadap penafian tersebut telah diketahui,” katanya lagi.

Mengulas lanjut beliau berkata, Shahidan telah ‘disucikan’ dan diangkat menjadi pemimpin utama parti itu.

“Begitulah sikap pemimpin Pas ketika Datuk Seri Shahidan berada dalam UMNO disumpah seranah pagi, petang, siang dan malam… terus ‘disucikan’ dan diangkat menjadi pemimpin utama Pas/PN.

“Begitu jugalah dengan Tun Mahathir, pejuang Hindraf P Ramasamy dan Utahaya Moorthy telah disucikan apabila menunjukkan sokongan kepada parti mereka.

“Akhir sekali percayalah pelantikkan Datuk Seri Shahidan sebagai Pengerusi PN Perlis memberi rahmat kepada pembangkang di Perlis. Beliau tetap akan menerima penentangan dari dalam,” katanya lagi.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow