Pahang noktah miskin tegar.:Kenapa perlu kritik membabi buta?

Oleh : ANAK CILI
Mei 30, 2024 - 13:15 MYT
Pahang noktah miskin tegar.:Kenapa perlu kritik membabi buta?

Kehebatan manusia terletak pada akal fikiran yang waras berfikir itu yang membezakan manusia dengan lain lain makhluk ciptaan Allah di atas mukabumi ini. Berhadapan dengan kepesatan teknologi maklumat memberikan kebebasan mutlak kepada rakyat untuk melontarkan komentar di media sosial. Dalam masa yang sama kerana terlalu laju jari menaip kerana ingin menjadi orang terpaling bukan sahaja mendedahkan kepada kesalahan ejaan semata mata (typo) tetapi keciciciran akal.

Pengumuman yang dbuat oleh YAB Dato Sri Wan Rosdy Wan Ismail semalam berkaitan kejayaan Negeri Pahang negeri pertama di Malaysia menoktahkan miskin tegar mendapat rekasi yang pelbagai. Sudah menjadi  tipikal Melayu “miskin itu melayu” sukar dipisahkan . “ Tuhan sudah jadikan dunia ini ada yang miskin ada yang kaya dah kalau macam tu tiadalah penerima zakat  jika tiada orang miskin, nak lawan hukum tuhan pulak? “, itu yang disuarakan atau paling tidak getus di dalam hati mereka yang dangkal sudut pandang yang positif.

Kita tidak akan dapat memahami mekanisma menoktahkan kemiskinan tegar dengan hanya sambil lalu hanya berdasarkan perkatan “miskin” tetapi perlu melihat secara realistik keseluruhan. Miskin tegar, miskin, B40. M40 dan T20 adalah pengkelasan bagai memudahkan kerajaan membuat apa apa dasar dan tindakan bagi tujuan bantuan, kebajikan serta rasionalisasi subsidi terutama melibatkan dasar fiskal yang perlu respon kepada keadaan semasa.

Miskin Tegar merupakan kelompok masyarakat yang menjadi sasaran kerajaan samada Kerajaan Negeri Pahang mahupun agensi di bawah Kerajaan Persekutuan. Ketua Isi Rumah (KIR) yang dikenalpasti dalam miskin tegar yang dikenalpasti melalui Ketua Kampung, Penghulu, Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Agama Islam dan Wakil Rakyat sebagai contoh akan disenaraikan dalam E-Kasih.

Sebagai contoh juga  Kerajaan Negeri Pahang memberikan rumah secara percuma kepada KIR yang termasuk dalam senarai E Kasih . Sejak tahun 2020 hingga 2023 sebanyak 1,029 buah rumah dan 470 lagi akan di bina pada tahun 2024 bermakna seramai itulah KIR yang berada dalam senarai E- Kasih (Miskin Tegar) telah dikeluarkan dari kelompok E-Kasih. Jika selama ini mereka menyewa dengan kadar RM 300 sebulan tetapi setelah memiliki rumah secara percuma oleh Kerajaan Negeri Pahang , mereka kini telah menambah pendapatan kerana tidak lagi membayar sewa rumah.

Itu belum lagi bantuan bantuan lain yang diterima oleh mereka melalui Skim I-Push (Bantuan Perniagaan Kecil) dan Bantuan Prihatin Pahang, Bantuan Am Persekutuan , bantuan Am Negeri, Bantuan Am Warga Emas,Bantuan OKU yang diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, Bantuan Awal Persekolahan  Persekutuan dan Negeri , MUIP melalui Bantuan Zakat termasuk bantuan memulakan perniagaan kepada golongan Asnaf (Miskin Tegar) malahan wakil rakyat Kerajaan BN juga banyak membantu mereka yang tersenarai dalam senarai E Kasih Miskin Tegar.

Kesan intervensi Kerajaan dalam menoktahkan Kemiskinan tegar melalui pelbagai mekanisma seperti yang dinyatakan pada 2023 terdapat 4,968 KIR tergolong dalam kumpulan miskin tegar. Statistik ini kemudiannya menurun sebanyak 60.8 peratus apabila seramai 3,022 KIR telah terkeluar daripada status miskin tegar pada 31 Disember 2023.
Jika Kerajaan Negeri Pahang pimpinan Barisan Nasional yang dipilih oleh rakyat berjaya menyelesaikan permasalahan kemiskinan tegar apakah itu menyebabkan rakyat tidak gembira dan memperlekehkan usaha usaha demi kemaslahatan rakyat? Kenapa perlu sinis kepada menoktahkan kemiskinan tegar?

Apa yang paling mendukacitakan, ramai dikalangan mereka yang tergolong dari miskin tegar ialah mereka tidak mahu dikeluarkan dari senarai miskin tegar kerana tidak lagi menerima bantuan bantuan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Persekutuan. Apakah kita mesti berbangga dan meneruskan bantuan kepada mereka yang tidak ada kesedaran untuk mengubah nasib diri dan keluarga? 

Sebagaimana kata kata YAB Menteri Besar Pahang ketika mengumumkan kejayaan menoktahkan miskin tegar di Pahang “saya tidak menolak kemungkinan jumlah miskin tegar ini akan kembali semula dan Kerajaan Negeri telah bersedia sebaik mungkin untuk memantau dan menyalurkan bantuan kepada kumpulan sasar ini agar kemiskinan tegar ini dapat terus dikawal dan dikurangkan. Baca selanjutnya
https://www.facebook.com/wanrosdyOfficial/posts/pfbid031WXGquDcTENzFqQNDTabTC34e5YZmVMvmSzmRfih8JsR6bYG3yPJHDXw7WZugUFvl

Memahami maksud akan berlaku lagi mereka yang akan masuk ke dalam senarai miskin tegar ini kerana kehidupan manusia itu akan sentiasa berubah ubah. “Noktah” dalam konteks kemiskinan tegar sebagaimana kita menulis karangan selepas noktah akan ada lagi ayat baru serta perenggan baharu sebagimana fasa kehidupan manusia .

Melainkan ada dikalangan masyarakat yang menoktahkan fikiran mereka bahawa miskin itu tidak memerlukan justifikasi dan jalan penyelesaian. Kritik sesedap rasa dengan membabi buta bagai mencari semut hitam di atas batu hitam di malam yang gelap gelita.

Pedas Berapi
Anak Cili 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow