PAS Pahang: Politik Lama, Modal Sama
Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail membidas pembangkang negeri ini yang terus menyebarkan persepsi negatif terhadap pentadbirannya. PAS Pahang, khususnya, gemar meniup api perpecahan dengan skrip lama yang diulang-ulang dengan memainkan sentimen kaum dan agama. Dan seperti biasa, mereka mahu menjadi “hero” dalam sandiwara ini.
Terbaru, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, YB Dato’ Andasura Rabu tampil menjual persepsi jahat kononnya pentadbiran negeri mesti “dikembalikan” kepada orang Melayu dan Islam.
Soalan mudah: siapa Menteri Besar sekarang? Siapa Setiausaha Kerajaan Negeri? Adakah mereka bukan Melayu? Bukan Islam? Atau Pahang ini negeri sekular?
Inilah masalahnya. Politik seperti ini bukan sekadar mengundang ketawa, ia memecah-belahkan rakyat, membakar sentimen agama, dan menyuburkan perkauman.
Tidak cukup dengan itu, mereka menjaja cerita kononnya pentadbiran Menteri Besar tidak fokus membangunkan negeri. Hakikatnya, fakta membuktikan sebaliknya:
- Kutipan hasil negeri melebihi RM1 bilion selama tiga tahun berturut-turut.
- Pelaburan direalisasikan bernilai RM4 bilion dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, dan terbaik di Pantai Timur.
- Universiti Al-Quran bakal dibina di Pahang.
- Bantuan kepada rakyat seperti Inisiatif Makmur Pahang, Rumah Rakyat Pahang, peningkatan bekalan air, dan Juadah Makmur dilaksanakan tanpa mengira fahaman politik, agama, atau kaum.
Sampai bila rakyat perlu disajikan politik ala PAS ini? Dari era Amanat Haji Hadi hingga hari ini, tak pernah berubah, agama dan kaum terus dijadikan modal murahan untuk menggapai kuasa.
Kerajaan Negeri Pahang di bawah kepimpinan Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy telah membawa perubahan besar. Dari negeri yang berhutang RM3 bilion, kini hutang tinggal sekitar RM900 juta. Jika dulu kutipan hasil hanya RM600 juta setahun, kini sudah melebihi RM1 bilion tiga tahun berturut-turut. Program bantuan rakyat dilaksanakan menyeluruh, dari bayi yang baru lahir hingga warga emas.
Pahang hari ini adalah negeri berprestasi tinggi. Di Pantai Timur, Pahang berada di kelas tersendiri. Kejayaan ini terhasil kerana pemimpinnya tidak berpolitik sepanjang masa, mereka bekerja demi rakyat dan negeri.
Mengapa mahu menukar kerajaan negeri yang terbukti berprestasi tinggi hanya kerana termakan dakyah persepsi negatif PAS? Pahang sudah maju, dan kita tidak perlukan politik lama dengan modal sama.
Apa Reaksi Anda?











