Fakta Sebenar Isu Pertikaian Tanah Orang Asli, Kg Chot
Sejak beberapa hari lalu, tular pelbagai dakwaan kononnya masyarakat Orang Asli di Kampung Cot, Mukim Luit, Maran dizalimi dan diusir daripada tanah adat mereka. Naratif itu mengundang simpati ramai. Namun persoalannya, adakah semua fakta telah diceritakan?
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad tampil menjelaskan keadaan sebenar supaya masyarakat tidak membuat kesimpulan hanya berdasarkan video yang tular.
Menurut rekod Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Kampung Cot hanyalah sebuah kampung serpihan yang tidak berdaftar sebagai penempatan Orang Asli. Malah, hanya 12 individu pernah mengemukakan tuntutan bertulis kepada JAKOA berhubung kawasan tersebut. Ini bermakna dakwaan bahawa seluruh kawasan itu merupakan penempatan rasmi Orang Asli adalah tidak tepat.
Tanah berkenaan pula telah dipohon oleh sebuah syarikat dan diluluskan secara sah oleh Kerajaan Negeri melalui keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Ke-32/2015 bertarikh 4 November 2015.
Inilah fakta yang perlu diketahui masyarakat. Isu ini bukan berlaku secara tiba-tiba atau kerana kerajaan mahu “mengambil tanah” Orang Asli. Kelulusan itu telah wujud lebih sedekad lalu mengikut proses dan undang-undang yang ditetapkan.
Kerajaan Negeri Pahang juga sering mengadakan rundingan dengan Orang Asli yang terkesan. Jika benar kerajaan mahu menindas, sudah tentu tiada ruang diberikan untuk berbincang.
Sebaliknya, JAKOA telah mengadakan beberapa siri libat urus bersama penama yang terlibat bagi mencari penyelesaian terbaik terhadap pertindihan tuntutan. Hasil rundingan itu, hanya enam penama masih meneruskan tuntutan melalui JAKOA. Ini membuktikan pendekatan Kerajaan Negeri bukan konfrontasi, tetapi penyelesaian secara berhemah.
Dalam sesi libat urus tersebut, penama terbabit mendakwa kawasan itu ialah tanah adat. Namun, menurut penjelasan berkenaan, selepas semakan dibuat oleh pihak berkuasa berkaitan, dakwaan tersebut tidak dapat disahkan berdasarkan rekod yang ada.
Dalam hal ini, penjelasan Kerajaan Negeri turut merujuk keratan akhbar bertarikh 21 Februari 2026 yang memetik titah Tuanku Sultan Pahang, “Tiada Istilah Tanah Adat Tanpa Warta Sah”. Pendirian yang diketengahkan ialah sesuatu kawasan tidak boleh dianggap sebagai tanah adat hanya berdasarkan dakwaan atau penerokaan, sebaliknya statusnya perlu ditentukan mengikut undang-undang dan rekod yang berkaitan.
Semakan turut mendapati kira-kira 30 ekar tanah di kawasan tersebut telah diusahakan dengan tanaman getah dan kelapa sawit tanpa sebarang kebenaran yang sah. Dalam mana-mana keadaan sekalipun, penerokaan tanah kerajaan tanpa kelulusan adalah menyalahi undang-undang. Undang-undang perlu terpakai kepada semua pihak tanpa mengira kaum atau latar belakang.
Syed Ibrahim turut menjelaskan bahawa enam individu yang masih mengemukakan tuntutan bukan berasal dari Kampung Cot. Mereka berasal dari Kampung Orang Asli Paya Besar, Maran; Kampung Orang Asli Paya Bungor, Kuantan; dan Kampung Orang Asli Bukit Rok, Bera.
Fakta ini penting kerana ia menunjukkan isu tersebut tidak melibatkan penduduk asal sebuah kampung yang diwartakan di kawasan berkenaan.
Walaupun tanah itu telah mempunyai kelulusan sah, Kerajaan Negeri tidak mengambil pendekatan menghukum. Sebaliknya, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Pahang, JAKOA serta Pejabat Daerah dan Tanah Maran diarahkan meneliti kemungkinan bantuan yang bersesuaian daripada pihak syarikat kepada penama yang terlibat.
Pendekatan ini menunjukkan kerajaan bukan sekadar menguatkuasakan undang-undang, malah tetap mengambil kira kebajikan masyarakat Orang Asli.
Berdasarkan penjelasan tersebut, isu Kampung Cot ialah pertindihan tuntutan ke atas tanah yang telah mempunyai kelulusan sah, di samping wujud penerokaan tanpa kebenaran. Kerajaan Negeri Pahang memilih jalan rundingan, memberi ruang kepada JAKOA menjalankan libat urus serta berusaha mencari penyelesaian yang adil tanpa mengenepikan undang-undang.
Sebab itu, dalam isu seperti ini, emosi tidak boleh mengatasi fakta dan simpati tidak boleh mengatasi kedaulatan undang-undang.
Cukuplah menjadi hero di media sosial dengan memainkan emosi rakyat. NGO dan pempengaruh jangan menjadi batu api sehingga mengelirukan masyarakat dengan naratif yang tidak lengkap. Usaha rundingan dan bantuan yang dijelaskan oleh Kerajaan Negeri juga perlu diberi perhatian sebelum tuduhan penindasan dibuat.
Dalam soal tanah, undang-undang mesti dihormati. Penerokaan tanah tanpa kebenaran tetap satu kesalahan, tidak kira siapa pelakunya. Jika undang-undang hanya dikuatkuasakan kepada sebahagian pihak dan dikecualikan kepada yang lain, maka runtuhlah prinsip keadilan yang menjadi asas sebuah negara.
Apa Reaksi Anda?











