IM Pahang Salur RM2.65 Juta Kepada 260 Masjid dan Surau Zon Pahang Tengah
Sebanyak 260 buah masjid dan surau dengan kebenaran Jumaat di Zon Pahang Tengah menerima bantuan menerusi Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) Kluster Agama pada satu majlis penyampaian di Masjid Felda Jengka 25, baru-baru ini.
Agihan kali pertama tahun ini melibatkan jumlah keseluruhan RM2.65 juta, dengan setiap masjid menerima RM10,000.
Daripada keseluruhan penerima di zon berkenaan, agihan disalurkan seperti berikut:
Wilayah Jengka: 39 masjid dan surau kebenaran Jumaat
Maran: 36
Jerantut: 59
Temerloh: 93
Bera: 38
Majlis itu diadakan bersempena Program Jengka Berselawat dan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad. Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YH Dato’ Haji Ahmad Khirrizal Ab Rahman serta Pegawai Daerah Temerloh, YH Dato’ Khairur Rizal Ramli.
Menurut Dato’ Sri Syed Ibrahim, agihan tahun ini dibahagikan kepada tiga zon utama iaitu
Zon 1: Temerloh, Bera, Jengka dan Jerantut
Zon 2: Raub, Lipis dan Cameron Highlands
Zon 3: Rompin, Pekan dan Kuantan
“Alhamdulillah, kita telah berjaya menyalurkan lebih RM2.65 juta kepada masjid-masjid di Zon Pahang Tengah ini. Zon-zon lain insya-Allah akan menyusul,” katanya.
Dalam majlis sama, kerajaan negeri turut meraikan 50 tokoh imam dan bilal yang telah berkhidmat lebih 30 tahun dengan penganugerahan sijil serta sagu hati RM1,000 seorang.
“Kita hargai jasa imam dan bilal yang sekian lama berbakti kepada masjid. Pemberian ini sebagai tanda terima kasih dan semoga bermanfaat untuk mereka,” ujar beliau.
Dato’ Sri Syed Ibrahim menegaskan, inisiatif ini membuktikan hasil negeri yang kukuh di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berjaya disalurkan kembali kepada rakyat.
“Ini bukti bahawa pendapatan besar yang diumumkan kerajaan negeri benar-benar sampai ke rakyat, sekaligus menepis dakwaan pihak tertentu kononnya hasil hanya tinggal angka di atas kertas,” katanya.
Apa Reaksi Anda?











