Infrastruktur Lebih Baik, Keselesaan Rakyat Diutamakan

Oleh : BARD
Februari 24, 2026 - 11:00 MYT
Infrastruktur Lebih Baik, Keselesaan Rakyat Diutamakan

Ahli Parlimen Paya Besar, YB Dato' Indera Mohd Shahar Abdullah berkata projek menaiktaraf jalan dan sistem perparitan di FT229, Jalan Permatang Badak merupakan antara inisiatif penting bagi memastikan kesejahteraan serta keselamatan rakyat terus terpelihara, seiring dengan komitmen kerajaan untuk menyediakan kemudahan infrastruktur yang lebih baik dan mampan.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan tapak pagi tadi bersama Ahli Majlis Bandaraya Kuantan, Dato' Zaili, Penyelaras DUN Panching, YBhg. Saudara Hasrul Afizan serta wakil daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Roadcare bagi meninjau pelaksanaan projek berkenaan.

“Alhamdulillah, projek ini telah diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM1.5 juta bagi kerja-kerja menaiktaraf jalan dan RM600,000 bagi kerja-kerja menaiktaraf sistem perparitan (longkang) di laluan tersebut,” katanya.

Menurut beliau, kerja-kerja menaiktaraf ini melibatkan penggunaan kaedah CIPR (Cold In-Place Recycling), iaitu satu pendekatan moden yang mengambil sedikit masa lebih panjang untuk disiapkan, namun memberi hasil jalan yang lebih kukuh, tahan lama serta menjamin keselamatan pengguna.

YB Mohd Shahar turut menjelaskan bahawa projek ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam menaik taraf prasarana awam di kawasan luar bandar dan pinggir bandar, sekali gus mempertingkatkan mutu kehidupan rakyat setempat.

“Insya-Allah, usaha ini adalah komitmen berterusan kita untuk memastikan kemudahan infrastruktur yang lebih baik demi keselesaan dan keselamatan rakyat. Kita mahu setiap sen peruntukan yang disalurkan benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat,” ujarnya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak JKR, Roadcare serta semua agensi yang terlibat atas kerjasama padu dalam
memastikan kelancaran pelaksanaan projek tersebut.

“Saya mohon semua pengguna Jalan Permatang Badak agar dapat bersabar sepanjang tempoh pelaksanaan projek ini. Sedikit kesulitan yang dihadapi hari ini adalah demi manfaat jangka panjang kepada semua,” katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa komitmen kerajaan negeri dan pusat terhadap pembangunan Pahang tidak pernah berkurang, sebaliknya terus diperkukuh dengan pelbagai projek berimpak tinggi yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan
rakyat.

“Ini selaras dengan aspirasi kita untuk Hebatkan Paya Besar, memperkukuh kemajuan Pahang dan menjadikan negeri ini antara yang terbaik dalam aspek pembangunan infrastruktur dan kesejahteraan rakyat,” tambahnya.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow