Kerajaan Pahang Ikrar Beri Khidmat Terbaik Kepada Rakyat

Oleh : BARD
April 10, 2025 - 12:00 MYT
Kerajaan Pahang Ikrar Beri Khidmat Terbaik Kepada Rakyat

Kerajaan Pahang berikrar akan terus memberi perkhidmatan terbaik buat rakyat dan pelabur di negeri itu.

Menteri Besar, YAB Dato' Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, berkata sebelum ini, beberapa pendekatan baharu diperkenalkan bagi mengurangkan karenah birokrasi.
Katanya, antaranya dengan menurunkan kebenaran pertukaran hak milik tanah kepada Pegawai Daerah.

“Penubuhan dan penyusunan semula beberapa agensi seperti Perbadanan Pasir Pahang, Pahang Mining Corporation dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang agar urusan berkaitan hasil bumi dan tanah dapat diperkemas.

“Seterusnya membantu peningkatan hasil kepada kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan semalam.

Semalam, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan seluruh jentera pentadbiran kerajaan negeri Pahang terus memperkemas dan memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Baginda bertitah, kerajaan negeri perlu bergerak ke hadapan dengan sistem pentadbiran yang lebih efisien, tersusun dan responsif bukan semata-mata memenuhi prosedur tetapi menjawab keperluan sebenar rakyat.

“Rakyat menilai kerajaan bukan pada kata-kata tetapi pada tindakan, penyelesaian dan hasil kerja,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Suratcara Pengisytiharan Pelantikan dan Ikrar Taat Setia Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato' Indera Nazri Abu Bakar dan Pegawai Kewangan Pahang, Dato' Fazdilla Salleh di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz, di sini.

Selari dengan titah dan pesanan Sultan Pahang, Wan Rosdy berkata, setiap hasil yang diperolehi akan dikembalikan semula kepada rakyat dan negeri melalui pelbagai inisiatif seperti Program Inisiatif Makmur Pahang serta projek pembangunan.

“Bagi pihak Kerajaan Pahang, patik menjunjung kasih atas perkenan menerima pelantikan Dato' Indera Nazri selaku Setiausaha Kerajaan Pahang yang baharu.

“Selaras dengan pelantikan tersebut, terdapat beberapa perubahan dalam pentadbiran Kerajaan Pahang di mana jawatan yang disandang Dato' Indera Nazri sebelum ini diisi Dato' Fadzilla sebagai Pegawai Kewangan Pahang.

“Dato' Hamadan @ Hamdan Hussin sebagai Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Pahang dan Dato' Razihan Adzharuddin sebagai Pengarah Tanah dan Galian Negeri Pahang,” katanya. 

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow