MCMC menang saman, dapat penghakiman ingkar terhadap ‘Edisi Siasat’, ‘Edisi Khas’
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya dalam kes samannya terhadap dua pentadbir saluran Telegram ‘Edisi Siasat’, Edisi Khas di Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, berhubung menyebarkan atau menerbitkan 33 artikel yang memudaratkan.
Ia selepas MCMC selaku plaintif berjaya memperoleh penghakiman ingkar terhadap dua individu yang tidak dikenali itu.
Penghakiman ingkar ialah keputusan mahkamah yang memihak kepada plaintif dalam sesuatu kes saman, sekiranya defendan gagal menjawab tuntutan terhadapnya.
Peguam, Wong Guo Jin yang mewakili MCMC berkata, Hakim, Mahazan Mat Taib memutuskan demikian selepas mereka gagal untuk memasukkan kehadiran dan memfailkan pembelaan, masing-masing pada 10 dan 24 September lalu.
“MCMC telah memfailkan JID ini pada 25 September lalu bagi beberapa tuntutan yang dimasukkan pada writ bertarikh dan pernyataan tuntutan bertarikh 21 Mei.
“Peguam bagi kedua-dua defendan juga tidak hadir ke mahkamah bagi prosiding ini,” katanya.
Susulan itu beliau berkata, mahkamah membenarkan permohonan JID ini terhadap mereka.
Bagaimanapun beliau berkata, ganti rugi am dan teladan akan ditaksirkan kemudian oleh mahkamah pada tarikh lain.
Mahkamah menetapkan 27 November untuk sebutan semula kes.
Pada 21 Mei lalu, MCMC selaku plaintif memfailkan saman dengan menamakan dua individu itu serta Telegram Messenger Inc sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Dalam pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa saluran berkenaan terlibat dalam kempen terancang yang menyasarkan Institusi Diraja, badan atau institusi awam sejak 6 Februari 2024.
MCMC turut mendakwa semua defendan menyebarkan berita palsu dan mengelirukan bertujuan mengganggu ketenteraman awam serta melemahkan kepercayaan terhadap tadbir urus negara.
Plaintif menyatakan segala dakwaan tersebut sebagai rekaan dan tidak disokong dengan sebarang bukti.
Katanya, penerbitan berita palsu berniat jahat untuk mencetus ketidakpuasan hati dan kebencian orang awam terhadap kerajaan Malaysia.
Tindakan berkenaan boleh menjejaskan kepercayaan awam terhadap institusi kerajaan dan menimbulkan ketakutan orang awam berhubung isu privasi dan keselamatan data.
Plaintif mendakwa, sehingga tarikh pemfailan tindakan berkenaan, saluran aplikasi itu masih terus menerbit dan menyebarkan siri kandungan jelik melampau, palsu dan mengancam terhadap Institusi Diraja Malaysia dan institusi awam.
Susulan itu, MCMC memohon satu deklarasi bahawa defendan pertama dan kedua telah membenarkan dan memudahkan penggunaan saluran-saluran itu untuk menerbit dan mengedarkan kandungan memudaratkan terhadap pihak lain.
Mereka juga memohon deklarasi bahawa defendan ketiga membantu, bersubahat, memudahkan dan menyumbang kepada penerbitan dan pengedaran kandungan-kandungan berkenaan oleh defendan pertama dan kedua dengan tidak memadamkan saluran berkenaan apabila diarahkan secara statutori.
Pada 19 Jun lalu, MCMC dalam kenyataan berkata, pihaknya telah mengambil langkah tegas dengan memfailkan tindakan sivil terhadap dua saluran di platform Telegram itu.
MCMC berkata tindakan itu, merupakan yang pertama seumpamanya diambil terhadap penyedia platform media sosial, memandangkan media berkenaan merupakan pemegang lesen Perkhidmatan Aplikasi.
Apa Reaksi Anda?











