Mini MAHA Pahang 2025 Catat Sejarah: Jualan Cecah RM2.23 Juta, Pengunjung Lebih 200 Ribu

Oleh : BARD
Ogos 19, 2025 - 10:00 MYT
Mini MAHA Pahang 2025 Catat Sejarah: Jualan Cecah RM2.23 Juta, Pengunjung Lebih 200 Ribu

Mini Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) Pahang 2025 mencipta rekod baharu apabila berjaya mencatatkan nilai jualan mencecah RM2,230,633.72, jauh melepasi sasaran awal sebanyak RM1.2 juta.

Lebih membanggakan, program empat hari yang berlangsung di Dataran Temerloh itu menerima sambutan luar biasa dengan kehadiran 206,120 pengunjung, berbanding jangkaan awal hanya 50,000 orang. Kejayaan ini sekali gus meletakkan Mini MAHA Pahang sebagai acara pertanian berskala negeri paling berimpak tinggi setakat ini.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan, Dato' Sri Mohd Soffi Abd Razak, menyifatkan pencapaian ini sebagai hasil daripada kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, agensi berkaitan serta golongan petani, penternak, nelayan dan usahawan.

“Mini MAHA Pahang menghimpunkan semua pemain utama dalam ekosistem pertanian moden. Ia berteraskan teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan inovasi, sekali gus membuka peluang besar untuk pembangunan sektor agromakanan negeri.

Pelancaran Beras Pahang dan produk jenama Pahang Best membuktikan negeri ini kaya dengan hasil pertanian yang berpotensi dipasarkan lebih luas,” katanya.

Mini MAHA Pahang 2025 adalah cetusan idea Menteri Besar, YAB Dato' Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, yang sebelum ini dikenali sebagai Karnival Agro Makanan. Penganjuran kali ini diperuntukkan sebanyak RM2 juta, melambangkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memperkukuh sektor pertanian dan keterjaminan makanan.

Menteri Besar turut mengumumkan penganjuran MAHA Pahang secara bergilir di daerah-daerah lain, agar manfaat ekonomi dan peluang pemasaran dapat dirasai lebih meluas oleh rakyat di seluruh negeri.

Program anjuran Kerajaan Negeri dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Pahang itu turut membabitkan 100 usahawan tempatan. Mereka diberi peluang memasarkan produk masing-masing kepada ribuan pengunjung, sekali gus membuka ruang jaringan baharu dengan pelabur serta penggiat industri.

Kejayaan luar biasa dari segi jualan melebihi RM2 juta dan kehadiran ratusan ribu pengunjung menjadikan Mini MAHA Pahang sebagai penanda aras baharu untuk penganjuran akan datang. Kerajaan Negeri yakin, dengan perancangan lebih awal dan kerjasama menyeluruh, edisi seterusnya mampu mencatat kejayaan lebih besar.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow