“Adakah Pas Yang Dianggap Terpaling Islam”
“Kuasa politik di negeri Pahang perlu dikembalikan kepada Melayu-Islam”, itu kenyataan Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, YB Dato’ Andansura Bin Rabu yang cuba mengambarkan pentadbiran kerajaan negeri Pahang sekarang dikawal oleh DAP.
Pas sudah kehilangan modal untuk mempengaruhi rakyat Pahang, mereka terpaksa menunggang Islam dan Melayu demi kepentingan politik. Pengaruh sokongan rakyat kepada mereka kian merosot dengan ketara.
Politik sempit dan ekstrim yang cuba dibawa oleh Pas bukan sahaja berlaku. Di zaman 1980’an, politik kafir mengkafir, solat dua imam, tidak pergi jemputan kenduri orang UMNO melalui ‘Amanat Haji Hadi’ telah menyebabkan orang Melayu-Islam berpecah sesama sendiri.
Berbalik dengan kenyataan Andansura ini, beliau cuba menggambarkan kerajaan negeri yang ada hari ini tidak membela orang Melayu, tidak memperkasakan agama Islam disebab adanya DAP.
Apakah Menteri Besar Pahang dan exconya kena berjubah, berkopiah baru pentadbiran negeri ini baru dilihat islamik?
Tanggapan DAP mengusai kerajaan negeri Pahang adalah tidak betul. Tidak betul kerajaan negeri ini bekerjasama dengan DAP. Tetapi hakikatnya terbentuk kerajaan negeri Pahang adalah kesefahaman bersama Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) yang mana ada DAP, PKR dan Amanah. Mengapa nama DAP sahaja yang disebut?
Jika Pahang hari ini dikawal oleh orang bukan Islam, sudah pasti peruntukkan sebanyak RM196.06 juta kepada Jabatan Agama Islam Pahang, Jabatan Mufti Negeri Pahang, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pahang dan Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Pahang tidak diperuntukkan, Tadika dan Maahad Tahfiz Pahang kini tumbuh bagai cendawan selepas hujan, Pahang peruntukan RM1.66 juta untuk bakal jemaah haji, membina 37 masjid dengan kos lebih RM117 juta menggunakan dana negeri, mengimarahkan masjid di negeri ini dengan majlis-majlis ilmu. ia termasuk Kelas Takmir Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) dikendalikan 463 guru takmir. Terdapat 1,173 lokasi premis ditakmir di negeri ini terdiri masjid, surau, agensi dan penjara dan banyak lagi.
Apa lagi yang Pas tak puas hati lagi dengan program menyemarakkan syiar Islam di Pahang?
Kalau hendakkan bandingkan Kelantan yang kononnya membawa imej pentadbiran Islam yang terbaik, sudah pasti isu-isu kemunduran di negeri itu dapat diatasi. Sepanjang mereka perintah, hanya 1 buah masjid sahaja yang dibina menggunakan peruntukkan kerajaan negeri dan selebihnya bantuan daripada kerajaan pusat. Belum isu kemudahan asas yang teruk yang masih gagal dilaksanakan sepanjang 30 tahun lebih mereka memerintah Kelantan.
Belum lagi isu sosial yang kian teruk di Kelantan. Kes dadah tertinggi, baru-baru ini ada pesta gay yang sangat memalukan bagi sebuah negeri yang digelar ‘Serambi Mekah”.
Menteri Besar Pahang boleh sahaja menutup operasi PASTI, SRITI, dan SMITI yang dikelolakan oleh Pas, tetapi politik matang Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy yang ditunjukkan memberi peluang operasi-operasi sekolah-sekolah Pas ini terus beroperasi walaupun kedengaran mereka menyemaikan politik kebencian kepada UMNO dikalangan anak-anak kecil yang belajar di sana.
Rakyat perlu tahu, kerajaan yang ada sekarang wujud atas cadangan dan titah Tuanku Agong ketika itu. Tiada parti yang berjaya mewujudkan kerajaan pada itu, sama juga berlaku di Pahang tiada satu parti yang berjaya mewujudkan kerajaan negeri walaupun dengan majoriti mudah.
Selepas PRU-15, negara dalam tidak stabil apabila tiada satu parti dapat menubuhkan kerajaan. Tuanku Agong berjumpa dengan ketua-ketua parti dan mendapat persetujuan menubuhkan kerajaan perpaduan yang melibatkan kesemua parti. Tetapi Perikatan Nasional menolak cadangan tersebut. UMNO/BN bersetuju untuk bersama dalam kerajaan perpaduan untuk mempastikan fokus kesejahteraan negara dan rakyat lebih penting daripada agenda politik.
Begitu juga di Pahang, walaupun Pas menawarkan kerjasama dengan UMNO, mereka meletakkan syarat-syarat yang luar biasa. Jawatan Menteri Besar, Speaker dan jawatan exco kanan diberikan kepada mereka, tetapi Pakatan Harapan Pahang tidak meletakkan syarat-syarat yang ketat. Dan akhirnya terbentuk kerajaan negeri Pahang antara UMNO dengan PH dimana jawatan Menteri Besar diberikan kepada UMNO, 8 jawatan exco diberikan kepada UMNO dan 2 jawatan exco diberikan kepada PH.
Apakah 2 jawatan exco ini boleh mengawal kerajaan negeri? Adalah tidak logik UMNO terpaksa tunduk dengan agenda DAP.
Inilah Pas, mereka sudah ketandusan isu, mereka terpaksa membawa isu Melayu-Islam bagi membangkitkan sokongan rakyat kepada mereka.
Pas perlu berhenti berselindung disebalik agama. Jangan gunakan imej Islam untuk tutup kelemahan sendiri. Jangan laungkan Islam dan Melayu, tetapi prestasi di negeri mereka tadbir gagal, lesu dan hambar.
Cukuplah menjadi jaguh di pentas ceramah yang penuh slogan kosong!
Apa Reaksi Anda?











