Peniaga dakwa pekerja rumah inap rakam video ketika mandi

Oleh : BARD
Ogos 29, 2025 - 09:00 MYT
Peniaga dakwa pekerja rumah inap rakam video ketika mandi

Seorang peniaga mendakwa menjadi mangsa perbuatan tidak bermoral oleh seorang lelaki yang dipercayai merakam videonya ketika berada di dalam bilik mandi sebuah rumah inap di Manir, dalam kejadian pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa berusia 35 tahun dari Ampang, Selangor telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada jam 12.09 tengah hari, Rabu.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam selepas mangsa ternampak tangan seseorang memegang telefon bimbit di cermin tingkap bilik mandi sebelum menjerit memanggil suaminya yang berada di bilik tidur.

"Pasangan itu kemudian mencari individu tersebut di sekitar kawasan rumah inap dan ternampak kelibat seorang lelaki memakai kemeja-T kelabu melarikan diri dengan menaiki motosikal.

"Mereka kemudian menghubungi pemilik rumah inap berkenaan dan memaklumkan mengenai kejadian tersebut," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Azli berkata, mangsa dan suaminya menyewa rumah inap itu selama empat hari bermula 25 Ogos lalu dengan harga RM5,250 bagi tujuan bercuti dan melakukan penggambaran baju Melayu.

Katanya, selepas kejadian, suspek lelaki yang juga merupakan pekerja rumah inap tersebut datang berjumpa dengan mangsa dan mengaku telah merakam video berkenaan namun mendakwa sudah memadamkannya.

"Lelaki tersebut memberitahu telah memadamkan rakaman itu sambil menyerahkan telefon bimbit miliknya kepada mangsa.

"Mangsa kemudian melihat telefon bimbit itu dan mendapati tiada rakaman videonya," katanya.

Azli berkata, siasatan polis mendapati rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi tidak menghala ke tempat kejadian, manakala tiada saksi lain yang melihat insiden tersebut.

"Polis sedang mengesan suspek berusia 30-an bagi membantu siasatan berhubung kes ini.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya.

Sebelum ini, tular video rakaman berdurasi 52 saat yang dikongsikan menerusi media sosial pada Rabu memaparkan mangsa berjumpa suspek berhubung kes itu.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow