Detik cemas kereta ‘ditelan’ lubang benam
Detik cemas sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang tiba-tiba 'ditelan' lubang benam di tengah jalan di Hefei, wilayah Anhui pada 25 Ogos lalu sempat dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam).
Dalam rakaman tersebut, SUV berkenaan yang membawa empat penumpang dilihat melalui jalan raya seperti biasa sebelum permukaan jalan secara tiba-tiba runtuh.
Kenderaan itu terus terjunam ke dalam lubang besar yang terbentuk sekelip mata, sekali gus mengundang jeritan orang awam yang menyaksikan kejadian ngeri itu.
Orang ramai yang berada berhampiran segera berlari ke arah lubang berkenaan untuk menghulurkan bantuan.
Usaha pantas mereka berjaya menyelamatkan semua mangsa yang terperangkap di dalam kenderaan tanpa sebarang kehilangan nyawa.
Pasukan penyelamat kemudian dikerahkan ke lokasi untuk mengeluarkan SUV tersebut daripada lubang benam yang dalam serta dipenuhi serpihan jalan.
Pihak berkuasa tempatan kini menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian, termasuk faktor struktur tanah dan keadaan sistem saliran di kawasan terbabit.
Insiden dramatik itu sekali lagi mencetuskan kebimbangan mengenai keselamatan jalan raya di bandar-bandar utama China yang sering berdepan masalah lubang benam akibat pembangunan pesat serta sistem perparitan yang tidak stabil.
Apa Reaksi Anda?











