Ops Sekat Bongkar Kebun Haram: 25,000 ekar sudah disekat, 104 Hektar Durian Ditebang, 129 Penceroboh Dicekup
Selama bertahun-tahun, kebun durian haram di Raub hidup subur di atas tanah kerajaan tanpa sedikit pun rasa hormat kepada undang-undang. Namun, kerakusan itu akhirnya terhenti apabila lebih 104 hektar (260 ekar) kebun durian haram di Hutan Simpan Kekal (HSK) Gunung Benom ditebang habis dalam Ops Sekat Fasa 4.
Tindakan tegas ini membuktikan bahawa “kebun haram” dan kroni-kroninya tidak lagi kebal daripada undang-undang.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak yang cuba menjarah tanah rakyat.
Sehingga kini, lebih 10,000 hektar (25,000 ekar) kawasan kebun durian haram sudah dipagar kawalan, dengan semua jalan tikus keluar masuk ditutup.
“Tiada sesiapa pun berada di atas undang-undang. Mereka yang berdegil akan terus diburu sehingga penanaman haram ini dihapuskan sepenuhnya,” tegas beliau.
Ops Sekat bukan sekadar menebang pokok ia juga menjerat dalang dan pekerja yang masih berdegil menjaga kebun.
Sejak operasi dimulakan pada 25 April 2024, jumlah keseluruhan meningkat kepada 129 tangkapan serta12 kes sudah dibawa ke mahkamah, dengan hukuman termasuk denda sehingga RM200,000 dan penjara maksimum 12 bulan.
45 individu telah ditahan sejak Fasa 4 bermula pada 21 Julai lalu bagi kesalahan melibatkan Kanun Tanah Negara, Akta Perhutanan Negara, Akta Imigresen serta Akta Senjata.
Ini bukan sekadar statistik tapi ia adalah mesej lantang kepada penceroboh bahawa sesiapa yang bermain dengan undang-undang, akan menerima padah.
Perlu diingat, operasi ini hanya bermula selepas Mahkamah Tinggi Kuantan menolak semakan kehakiman oleh 186 pekebun haram.
Mereka cuba bersembunyi di sebalik alasan “hak petani kecil”, tetapi fakta sebenar adalah tanah itu hutan simpan kekal milik negeri, bukan ruang untuk dijarah bagi keuntungan peribadi.
Ops Sekat dilaksanakan secara besar-besaran dengan kekuatan pelbagai agensi:
Pejabat Daerah dan Tanah Raub
Jabatan Perhutanan Negeri Pahang
Polis Diraja Malaysia (PDRM)
RELA
Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP)
Kerjasama ini memastikan tiada lagi kebun haram yang boleh berlindung, walau sejauh mana sekalipun di ceruk hutan.
Hakikatnya jelas bahawa penanaman durian haram ini bukanlah perjuangan rakyat kecil seperti yang cuba digambarkan oleh sesetengah pihak. Ia adalah hasil kerakusan yang mahu cepat kaya dengan menjarah tanah kerajaan, merosakkan hutan, dan menafikan hak negeri serta generasi akan datang.
“Tanah kerajaan dan hutan simpan kekal adalah khazanah negeri. Cubaan mencuri atau menanam secara haram adalah jenayah, dan kerajaan negeri tidak akan sesekali berlembut,” kata beliau.
Dengan lebih 104 hektar ditebang dan ratusan penceroboh dicekup, mesejnya amat jelas iaitu zaman kebal undang-undang sudah berakhir.
Kerajaan negeri menghantar amaran lantang ini kepada siapa yang masih berdegil akan menerima nasib sama, kerana undang-undang negeri ini bukan barang dagangan.
Apa Reaksi Anda?











