Peter Anthony ke penjara serta-merta hari ini
Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony dipenjarakan serta-merta oleh Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa memalsukan dokumen berkaitan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2014.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim memutuskan demikian selepas menolak rayuannya untuk mengetepikan sabitan bersalah, hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 berhubung kes terbabit.
Beliau yang bersidang bersama Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin, memerintahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu menjalani hukuman penjara mulai Selasa.
Mengikut pertuduhan, Peter sebagai Pengarah Urusan Asli Jati Engineering didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor (TNC) UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu pada tajuk surat itu dengan niat untuk menipu.
Surat berkenaan kononnya menyatakan UMS telah mengadakan kolaborasi dengan syarikat milik Peter iaitu, Asli Jati Engineering.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Pada 26 Mei 2022, Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Azura Alwi menjatuhi Peter hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 selepas didapati bersalah memalsukan surat itu.
Pada 18 April 2023, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache mengekalkan hukuman penjara dan denda, selepas menolak rayuan Peter untuk mengetepikan sabitan serta hukuman oleh Mahkamah Sesyen.
Apa Reaksi Anda?











