PRK KKB: 863 polis, tentera dan pasangan undi awal esok

Oleh : PAHANGKU
Mei 6, 2024 - 10:32 MYT
PRK KKB: 863 polis, tentera dan pasangan undi awal esok
Perang bendera dan poster di sekitar pekan Kuala Kubu Bharu sempena Pilihan Raya Kecil N.06 Kuala Kubu Bharu. - FOTO Eizairi Shamsudin HMetro

HULU SELANGOR: Seramai 625 anggota polis, 238 orang tentera dan pasangan akan mengundi awal dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB), esok.

Proses pengundian akan berlangsung di dua pusat mengundi awal iaitu di Rejimen Semboyan Divisyen Ke-4 Infantri dan Dewan Serbaguna Maktab Polis Diraja Malaysia, yang mengandungi tiga tempat mengundi atau saluran awal.

Kedua-dua pusat mengundi awal akan dibuka mulai 8 pagi sebelum ditutup pada 5 petang.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca baik di sebelah pagi pada hari pengundian manakala ribut petir pada sebelah petang.

PRK itu yang menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas), diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

DUN KKB memiliki sebanyak 40,226 pengundi berdaftar.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan pada Sabtu ini. - SUMBER

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow