RM2.5 Juta Untuk Buku Rujukan Percuma: Komitmen Kerajaan Pahang Perkukuh Pendidikan Anak Negeri

Oleh : BARD
September 2, 2025 - 12:00 MYT
RM2.5 Juta Untuk Buku Rujukan Percuma: Komitmen Kerajaan Pahang Perkukuh Pendidikan Anak Negeri

Kerajaan Negeri Pahang terus membuktikan komitmennya dalam memastikan pendidikan berkualiti dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat. Terbaru, sebanyak RM2.5 juta diperuntukkan bagi menyediakan buku rujukan dan latihan secara percuma kepada 23,784 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi tahun 2025 di seluruh negeri.

Peruntukan ini dilaksanakan melalui Inisiatif Makmur, sebuah agenda pendidikan negeri yang menyasarkan sokongan berterusan kepada pelajar menghadapi peperiksaan utama.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, menjelaskan langkah ini diambil kerana kerajaan negeri memahami bahawa tidak semua keluarga mampu menyediakan buku rujukan yang mencukupi untuk anak-anak mereka.

“Ramai pelajar terpaksa meminjam buku kerana kekangan kewangan. Situasi ini menjejaskan keselesaan dan tumpuan mereka untuk belajar. Atas sebab itu, kerajaan negeri tampil membantu dengan menyediakan buku rujukan percuma, dan insya-Allah usaha ini akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang,” katanya pada Majlis Pelancaran Inisiatif Makmur Pahang Buku Rujukan dan Latihan di Dewan Perdana, Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah.

Buat peringkat awal, buku percuma ini memberi tumpuan kepada empat mata pelajaran utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, dan Sains. Pemilihan subjek ini dibuat berdasarkan kepentingannya sebagai asas kejayaan pelajar sebelum inisiatif ini diperluaskan kepada subjek-subjek lain.

Buku-buku tersebut dihasilkan oleh guru pakar dari Pahang, dengan bimbingan Jabatan Pendidikan Negeri serta berpandukan silibus rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Ia bukan sekadar buku biasa, tetapi hasil kepakaran guru dengan semakan rapi. Jika tersilap pendekatan, ia boleh menjejaskan pelajar. Justeru, kerajaan memberi perhatian serius terhadap penerbitannya,” tambah Menteri Besar.

Selain inisiatif buku percuma ini, kerajaan negeri juga giat merangka usaha jangka panjang. Antaranya, cadangan penubuhan Universiti Al-Quran di Pahang yang kini sedang dibincangkan dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Tapak awal bagi projek itu juga sudah dikenal pasti.

Langkah ini membuktikan Pahang bukan sahaja menitikberatkan pendidikan akademik arus perdana, malah turut memberi perhatian terhadap pembangunan ilmu agama dan pengajian Al-Quran.

Dalam pada itu, YAB Menteri Besar menegaskan bahawa dakwaan Pahang antara negeri tertinggi kes buli adalah tidak benar.

“Berdasarkan angka rasmi, tiada kes keterlaluan dilaporkan. Namun, jika ada kes, kerajaan negeri bersama pihak berkuasa akan mengambil tindakan segera kerana ia bercanggah dengan dasar kerajaan,” katanya.

Inisiatif Makmur ini adalah sebahagian daripada Aspirasi Pahang 1st, yang menjadikan pendidikan sebagai salah satu agenda utama kerajaan negeri dalam melahirkan generasi berkualiti, berdaya saing dan berakhlak.

Dengan langkah berani memperuntukkan dana besar untuk pelajar, jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Pahang tidak pernah berkompromi dalam soal masa depan anak-anak negeri ini.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow