Roziana Tan: Anak Orang Asli Kaum Jakun Yang Buktikan Impian Ke Luar Negara Bukan Mustahil

Oleh : BARD
Julai 16, 2025 - 10:00 MYT
Roziana Tan: Anak Orang Asli Kaum Jakun Yang Buktikan Impian Ke Luar Negara Bukan Mustahil

“Saya perlu bagi ibu sesuatu supaya dia tahu yang membesarkan saya tidak sia-sia.”

Itulah kata-kata yang keluar dari hati seorang gadis muda berusia 20 tahun, Roziana Tan Beng Hai anak Orang Asli dari kaum Jakun yang kini menjejak impian untuk ke United Kingdom bagi menyambung pengajian di Universiti Manchester.

Bukan calang-calang, Roziana memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan PNGK 4.0, dan menerima dua tawaran pengajian dari universiti luar negara,satu dalam bidang Ekonomi dan Pengajian Sosial dan satu lagi dalam Perhubungan Antarabangsa. Pilihannya?

Kini, Roziana sedang menunggu kelulusan biasiswa daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan akan menduduki ujian IELTS sebagai syarat akhir sebelum berlepas.

Bagi Roziana, kejayaan ini bukan miliknya seorang. Ia adalah hadiah buat ibunya, Rohani Wambuan, 56, yang membesarkannya bersama seorang abang, seorang diri.

“Sebelum ini, ibu hanya menoreh getah. Sekarang ibu bekerja di ladang sawit. Saya nak balas jasa mak. Ini untuk dia,” katanya sambil menahan sebak ketika ditemui dalam Majlis Anugerah Murid Cemerlang (AMC) anjuran JAKOA.

Roziana bukan sekadar membanggakan dari sudut akademik, tetapi turut menjadi simbol harapan bagi seluruh komuniti Orang Asli bahawa tiada siapa harus merasa rendah diri atau takut untuk bermimpi besar.

“Jangan malu, tunjukkan kebolehan kita. Kita mampu.”

Turut mencuri perhatian dalam majlis itu ialah Siti Hawani Muhammad Almi, 18, pelajar dari kaum Semelai yang meraih 9A dalam SPM, termasuk 1A+. Kini beliau bakal melanjutkan pelajaran ke Institut Pendidikan Guru (IPG) di Terengganu.

Minatnya dalam bidang perguruan timbul sejak di bangku sekolah apabila beliau aktif sebagai guru muda SPM untuk membantu rakan-rakan sekelas. Kini, cita-citanya jelas mahu menjadi ustazah dan pendidik yang mampu menyebar ilmu kepada anak bangsa.

“Dulu saya cuma dapat 5A atau 6A. Tapi untuk SPM, saya paksa diri belajar lebih kuat. Alhamdulillah, usaha itu berbaloi.”

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JAKOA, Mohd Zamri Mustajap, seramai 149 pelajar Orang Asli mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM dan STPM tahun ini iaitu 116 pelajar SPM dan 33 pelajar STPM.

Beliau menekankan pentingnya pelajar Orang Asli menjadi agen perubahan, bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi juga untuk komuniti.

“Jika momentum ini berterusan, insya-Allah lebih ramai akan berjaya, dan kadar keciciran pendidikan dapat dikurangkan.”

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow