Sekolah Patriotik UMNO Jadi ‘Game Changer’, Perkukuh Masa Depan Parti
Sekolah Patriotik UMNO (SPU) terus membuktikan peranannya sebagai medan strategik melahirkan generasi pelapis kepimpinan parti apabila program berkenaan disifatkan mampu menjadi ‘game changer’ kepada masa depan UMNO.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Sekolah Patriotik UMNO, Dato' Sri Shahaniza Shamsuddin berkata, perkembangan program berkenaan membuktikan komitmen serius UMNO dalam menyediakan generasi kepimpinan baharu yang berilmu, berdisiplin dan mempunyai jati diri perjuangan.
Jelasnya, sepanjang tahun 2025, seramai 138 Patriot berjaya dilahirkan menerusi pelbagai modul latihan merangkumi kepimpinan, sahsiah, komunikasi serta pengukuhan ideologi parti.
“Anak-anak Patriot inilah aset masa depan parti. Mereka datang dengan idea segar, disiplin tinggi dan semangat juang yang kuat. Kehadiran mereka dalam UMNO akan menjadi ‘game changer’ yang mampu mengubah landskap serta mengembalikan kekuatan parti,” katanya.
Terdahulu, beliau telah berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Satu Tahun Pertubuhan SPU yang diadakan di sini, pada Ahad dengan disempurnakan kehadiran Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau turut meluahkan rasa terharu dapat bersama-sama menyaksikan sejarah perkembangan Sekolah Patriotik yang kini semakin diterima sebagai platform utama pembinaan kepimpinan muda.
Shahaniza menegaskan, kehadiran anak-anak Patriot dalam UMNO bakal membawa nafas baharu kepada parti.
Dalam masa sama, jelasnya, beberapa pencapaian membanggakan turut direkodkan termasuk penciptaan lagu rasmi Sekolah Patriotik oleh dua orang Patriot sendiri yang menerima sentuhan langsung kepimpinan tertinggi parti.
Shahaniza menegaskan, Sekolah Patriotik UMNO bukan sekadar program latihan biasa, sebaliknya medan strategik membentuk generasi baharu yang bakal memimpin parti pada masa hadapan.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung. Insya-Allah, Sekolah Patriotik akan terus menjadi pemangkin kebangkitan UMNO,” katanya.
Apa Reaksi Anda?











