Pahang Terus Unggul: 750 Peserta e-Kasih Terima Dividen RM2,011 Seorang Bukti Tadbir Urus Berkesan
Kerajaan Negeri Pahang sekali lagi membuktikan komitmen teguh dalam menjaga kebajikan rakyat apabila kira-kira 750 peserta e-Kasih menerima dividen hampir RM2,011 seorang, membabitkan jumlah keseluruhan RM1.058 juta. Penyerahan tersebut dibuat melalui Ladang Usahasama Integrasi Lembu dan Sawit PPRT Bukit Gayong, menandakan kejayaan nyata program pembangunan ekonomi rakyat negeri ini.
Menurut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, pencapaian besar ini tidak lain tidak bukan hasil pengurusan berintegriti, cekap dan telus oleh Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA). Katanya, kemampuan mengagihkan dividen ini membuktikan bahawa projek tersebut diurus secara profesional tanpa sebarang ketirisan atau salah guna kuasa.
“Kalau tidak diurus dengan baik, mana mungkin boleh bagi dividen. Tiada kebocoran, tiada ketirisan. Ini bukti pengurusan PASFA yang berkesan,” tegas beliau.
Menteri Besar turut mengaitkan kejayaan PASFA dengan kecemerlangan tadbir urus Kerajaan Negeri Pahang sendiri, yang berjaya menjana hasil RM1 bilion selama empat tahun berturut-turut sebagai satu pencapaian luar biasa dalam sejarah pentadbiran negeri.
Beliau menegaskan, angka ini tidak mungkin dicapai tanpa disiplin kewangan yang kukuh, integriti pengurusan serta kawalan rapi terhadap ketirisan.
Dalam ucapannya, Menteri Besar menegaskan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa memberi perhatian kepada kesejahteraan rakyat di semua peringkat kehidupan.
Kerajaan Pahang menyediakan pelbagai bantuan termasuk kebajikan, pendidikan, ekonomi, pembangunan komuniti dan sokongan sosial yang menjadikan Pahang antara negeri paling konsisten dalam agenda membela rakyat.
Beliau mengingatkan bahawa rakyat bebas menilai keberkesanan sesebuah pentadbiran.
“Kalau kerajaan tidak membantu, tidak berkebajikan sampai masanya tukar. Tetapi kalau kerajaan hari ini membela rakyat, memberi bantuan, menjaga kesejahteraan maka kerajaan hari ini harus kita pertahankan.”
Satu lagi bukti jelas kecekapan kerajaan ialah kejayaan Pahang memperoleh sijil audit bersih selama dua tahun berturut-turut merupakan satu indikator kukuh bahawa pengurusan kewangan negeri berada di landasan yang tepat dan berdisiplin.
YAB Menteri Besar optimis bahawa sokongan padu rakyat akan membolehkan lebih banyak manfaat sampai ke tangan mereka.
“Kalau semua beri sokongan dan tidak terpengaruh dengan fitnah, lebih banyak faedah akan dapat dari PASFA dan program-program kerajaan.”
Majlis penyerahan dividen tersebut turut dihadiri Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PASFA, YH. Dato’ Haji Zamri Yaakob, Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar serta Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Kejayaan ini bukan sahaja mengangkat martabat PASFA, tetapi juga mengukuhkan reputasi Kerajaan Negeri Pahang sebagai sebuah pentadbiran yang stabil, progresif dan berorientasikan rakyat.
Apa Reaksi Anda?











