“Aspirasi Pahang 1st Lipis Bukti Komitmen Kerajaan Terhadap Kebajikan dan Kesihatan Rakyat”
Jelajah Aspirasi Pahang 1st Daerah Lipis bukan sekadar program turun padang, tetapi satu gerakan menyeluruh yang menggabungkan elemen kebajikan, kesihatan dan sukan bagi memperkukuh kesejahteraan masyarakat setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, berkata program ini selari dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang yang mahu rakyat mempergiat aktiviti sukan dan rekreasi demi membina gaya hidup sihat.
“Saya menziarahi 11 rumah di Kampung Salang, menyampaikan bantuan makanan dan wang tunai kepada keluarga B40 serta warga uzur. Kehadiran kami disambut mesra. Kelihatan mereka gembira apabila wakil kerajaan turun sendiri menghulur bantuan,” katanya.
Selepas sesi ziarah, YB. Fadzli turut beramah mesra bersama masyarakat setempat di Taman Pertama, Lipis, melalui pelbagai aktiviti riadah seperti senamrobik, bola jaring dan pickleball yang mendapat sambutan hangat daripada golongan muda.
“Kita mahu rakyat Pahang, terutamanya anak muda, kekal aktif dan menjadikan kesihatan sebagai budaya hidup. Ini menepati titah Tuanku agar sukan dan rekreasi diperkasa di setiap daerah,” ujarnya.
Program Jelajah Aspirasi Pahang 1st Lipis ini menjadi bukti komitmen berterusan Kerajaan Negeri Pahang dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat bukan hanya melalui pembangunan fizikal, tetapi juga menerusi sentuhan prihatin dan gaya hidup sihat yang menyeluruh.
Apa Reaksi Anda?











