Jentera Pemuda UMNO Siap Siaga Hadapi PRN Sabah Ke-17
Segala persiapan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 disusun dengan rapi bagi memastikan jentera Pemuda UMNO berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya bagi menghadapi kempen akan datang.
Bendahari Pemuda UMNO Malaysia merangkap Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan, Mohd Naim Kurniawan Moktar berkata, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Exco Pemuda UMNO Malaysia yang dipengerusikan oleh Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.
Menurut beliau, mesyuarat berkenaan memberi tumpuan penuh kepada strategi pengukuhan jentera di semua peringkat serta penyelarasan gerak kerja bagi memastikan kemenangan calon muda Barisan Nasional (BN) di Sabah.
“Pemuda UMNO komited memastikan calon-calon muda yang bakal bertanding atas tiket BN mendapat kejayaan dan terus mendapat kepercayaan rakyat Sabah,” katanya menerusi perkongsian di Facebook hari ini.
Selain memberi tumpuan terhadap persediaan PRN17, Naim turut memaklumkan mesyuarat turut meneliti isu keselamatan di sekolah-sekolah seluruh negara yang kini menjadi perhatian umum.
Beliau berkata, Pemuda UMNO berpandangan aspek keselamatan murid dan guru perlu diberikan perhatian serius bagi menjamin suasana pembelajaran yang selamat, harmoni dan kondusif.
“Kami memandang berat perkembangan semasa yang semakin membimbangkan dan percaya tindakan segera perlu diambil bagi mengelakkan sebarang insiden berulang,” ujarnya.
Sehubungan itu, katanya Pemuda UMNO Malaysia akan menganjurkan satu sesi townhall bersama pemegang taruh utama termasuk pihak sekolah, ibu bapa, agensi keselamatan serta Kementerian Pendidikan Malaysia bagi merangka solusi nasional yang komprehensif dan berkesan.
Beliau menegaskan, Pemuda UMNO akan terus memainkan peranan aktif sebagai suara anak muda dalam memastikan kebajikan rakyat dan masa depan negara sentiasa menjadi keutamaan.
Apa Reaksi Anda?











