“Salman Al-Farisi Dan Politik Kotor Cybertroopers PAS”
Sekali lagi cybertroopers PAS tampil dengan naratif lama yang dikitar semula menuduh kononnya penyelaras DUN di Pahang “menjarah” duit peruntukan RM15,000 seperti yang diumumkan oleh Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail bagi mengurangkan beban rakyat akibat Krisis Asia Barat.
Tuduhan ini bukan sahaja longgar tanpa bukti, malah jelas bermotif jahat untuk membina persepsi negatif dalam kalangan rakyat. Tindakan Salman cuba memberi imej buruk kepada usaha kerajaan negeri Pahang dan untuk mengelirukan rakyat.
Namun sebelum terus menuding jari, elok dijawab satu persoalan asas, adakah penyelaras atau penyelia yang dilantik di negeri SG4 seperti Kedah dan Kelantan juga “jahat”? Jika logiknya begitu, maka kerajaan negeri-negeri tersebut juga perlu dipersoalkan. Tetapi realitinya tidak. Di sana, pelantikan dianggap keperluan pentadbiran. Di Pahang, ia tiba-tiba dituduh sebagai penyelewengan. Inilah wajah sebenar hipokrasi politik Pemuda Pas Pahang, standard berbeza hanya kerana kepentingan parti.
Hakikatnya, pelantikan penyelaras DUN bukan perkara luar biasa. Ia adalah mekanisme pentadbiran untuk memastikan kebajikan rakyat terus terbela, khususnya di kawasan tertentu yang memerlukan penyelarasan antara rakyat dan kerajaan negeri. Mereka bukan “pengaut hasil”, tetapi pelaksana dasar di lapangan untuk menyampaikan bantuan, mengurus aduan, dan memastikan tiada rakyat tercicir.
Lebih penting, perbelanjaan kerajaan bukan seperti mengurus rumah kebajikan yang bergantung kepada derma tanpa kawalan. Setiap peruntukan yang disalurkan tertakluk kepada prosedur kewangan yang ketat daripada proses perolehan, kelulusan, pelaksanaan hinggalah kepada audit. Tidak ada ruang untuk “ambil sesuka hati” seperti yang cuba digambarkan. Semua perbelanjaan mempunyai rekod, dipantau, dan diaudit mengikut peraturan yang ditetapkan.
Malah, cubaan menuduh sewenang-wenangnya ini secara tidak langsung merendahkan integriti penjawat awam yang bekerja siang malam memastikan sistem berjalan dengan baik. Laporan Ketua Audit Negara sendiri membuktikan bahawa pengurusan kewangan negeri berada pada tahap yang memuaskan dengan Sijil Audit Tanpa Teguran bagi tahun berakhir 2024 (dilaporkan pada 2025). Ini bukan pengiktirafan kecil, ini bukti bahawa tadbir urus kewangan dilaksanakan secara telus dan berdisiplin.
Peruntukan yang dipolemikkan itu pula bukanlah dana yang diwujudkan secara tergesa-gesa. Ia merupakan hasil perancangan sejak tahun 2018, dikumpulkan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan bencana dan musibah. Inilah pendekatan kerajaan yang bertanggungjawab dengan menyediakan “payung sebelum hujan”, bukan menunggu krisis baru mahu bertindak. Apabila rakyat memerlukan bantuan segera, dana sudah tersedia tanpa perlu menunggu proses yang lambat.
Justeru, apabila ada pihak melabel semua ini sebagai “jahat”, mereka sebenarnya sedang mempermainkan persepsi rakyat dengan naratif dangkal. Mereka memilih untuk menutup fakta, mengabaikan sistem, dan menyerang tanpa asas. Sedangkan hakikatnya, perkara yang sama turut diamalkan di negeri lain seperti Kedah dan Kelantan bezanya cuma satu, Pas boleh, BN tak boleh?.
Akhirnya, rakyat bukan lagi mudah dipengaruhi dengan retorik kosong. Mereka melihat, menilai, dan membezakan antara tuduhan politik dan realiti pentadbiran. Politik matang menuntut kejujuran dan konsistensi, bukan hipokrasi yang berubah mengikut siapa yang memegang kuasa.
Apa Reaksi Anda?











