Tok Wan Tegas: Nilailah Kerajaan Pahang Berdasarkan Bukti, Bukan Cakap Kosong

Oleh : BARD
November 12, 2025 - 15:00 MYT
Tok Wan Tegas: Nilailah Kerajaan Pahang Berdasarkan Bukti, Bukan Cakap Kosong

Rakyat Pahang diseru menilai prestasi kerajaan negeri berdasarkan bukti nyata bukan sekadar kata-kata manis atau janji politik pihak tertentu.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan, kesinambungan pemerintahan Barisan Nasional (BN) hanya akan kekal jika rakyat menilai secara adil terhadap apa yang telah kerajaan laksanakan selama ini.

“Ahli politik akan menyerahkan kuasa kepada rakyat setiap lima tahun. Maka rakyat wajib menilai prestasi kerajaan berdasarkan tindakan dan hasilnya, bukan retorik,” katanya ketika berucap pada Program Town Hall Rakyat anjuran Sinar Harian bersama Unit Komunikasi Strategik Negeri Pahang (UKS) di Dewan Datuk Seri Abdul Manan Ismail, Kuantan.

Tok Wan menegaskan kerajaan negeri sentiasa memastikan tiada rakyat Pahang yang terpinggir daripada bantuan kerajaan.

Antara inisiatif kebajikan yang telah dijalankan termasuk:

Bantuan kelahiran hingga pengurusan jenazah bukti dasar menyeluruh untuk menjaga kebajikan rakyat sepanjang hayat.

Bantuan khas bakal jemaah haji RM750, insentif kahwin kali pertama RM300, serta sumbangan RM10,000 kepada masjid dan surau Jumaat bagi memperkukuh institusi Islam.

Program Rumah Percuma Pahang Prihatin satu-satunya negeri yang memberikan rumah percuma kepada rakyat miskin tegar.

Majlis Pembangunan Pahang Barat diwujudkan bagi menyamaratakan pembangunan antara wilayah barat dan timur negeri.

“Kita bukan sekadar cakap, tapi kita buat. Pahang kini negeri yang paling aktif membantu rakyatnya tanpa mengira latar belakang,” tegas beliau.

Menurut Tok Wan, kesinambungan kerajaan sedia ada amat penting bagi memastikan semua dasar dan projek pembangunan tidak terganggu.

“Apa yang telah dirancang dan sedang dilaksanakan perlu diteruskan. Kesinambungan itu mesti datang daripada kerajaan hari ini supaya rakyat terus menikmati hasilnya,” katanya.

Pahang kini mencatat kutipan hasil melebihi RM1 bilion selama empat tahun berturut-turut, selain menarik pelaburan besar di Gebeng, Tanjung Agas dan Bentong ia menjadikan negeri ini antara destinasi pelaburan terunggul di Pantai Timur.

Dengan asas ekonomi kukuh dan tadbir urus stabil, kerajaan negeri dilihat berada pada landasan tepat menuju Pahang Maju 2030 sebagai sebuah negeri makmur, berdaya saing dan berwajah baharu.

Rakyat kini diingatkan agar menilai kerajaan bukan dengan emosi atau propaganda politik, tetapi berdasarkan bukti nyata hasil kerja dan jasa yang telah dibuktikan oleh pentadbiran Tok Wan selama ini.

“Insya-Allah, kita akan terus tambah baik, dan kita akan buat lebih baik daripada apa yang ada sekarang,” ujar beliau penuh keyakinan.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow