UMNO Fokus Kesejahteraan Rakyat, Sambut Baik Isyarat Tiada PRU Dalam Masa Terdekat

Oleh : BARD
April 6, 2026 - 12:00 MYT
UMNO Fokus Kesejahteraan Rakyat, Sambut Baik Isyarat Tiada PRU Dalam Masa Terdekat

UMNO menyambut baik kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi bayangan bahawa Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU) tidak akan diadakan dalam masa terdekat, sebaliknya menegaskan keutamaan perlu diberikan kepada usaha menangani cabaran kos sara hidup rakyat.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata dalam situasi negara berdepan ketidaktentuan global ketika ini semua pihak wajar mengetepikan perebutan kuasa dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada kebajikan rakyat

“Ketika ini negara sedang berhadapan dengan krisis yang besar, maka sewajarnya kita jangan terlalu memikirkan soal perebutan kuasa dan kedudukan semata-mata.

“Apa yang paling penting adalah pemimpin negara terus memberikan fokus kepada bagaimana memastikan rakyat mampu berdepan dengan kos sara hidup yang semakin meruncing,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Serentak Persidangan UMNO Cawangan-Cawangan 2006 dan Majlis Jamuan Aldifitri UMNO Bahagian Lumut di Dewan Merdeka, Majlis Perbandaran Manjung di sini, semalam.

Turut hadir Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MCT) UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir merangkap Ketua UMNO Bahagian Lumut.

Sebelum itu, Anwar memberikan bayangan Dewan Rakyat tidak akan dibubarkan dalam tempoh terdekat bagi memberi laluan kepada PRU16, sebaliknya kerajaan mahu memberi fokus kepada pemulihan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Asyraf Wajdi berkata kenaikan harga minyak dunia akibat faktor geopolitik dan konflik antarabangsa antara cabaran utama di luar kawalan negara, sekaligus memberi kesan langsung kepada perbelanjaan harian rakyat.

“Pendekatan yang disarankan Perdana Menteri mencerminkan nilai tanggungjawab dan keprihatinan tinggi terhadap realiti yang sedang dihadapi rakyat ketika ini.

“Dalam konteks Barisan Nasional (BN), pendirian kami jelas, iaitu memberi fokus kepada usaha terbaik untuk membantu rakyat. Ketika rakyat berdepan krisis, adalah lebih penting untuk kami memusatkan perhatian kepada soal kebajikan dan kesejahteraan mereka,” katanya. 

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow