UMNO Pahang Tuntut Titah Addendum Dilaksana Segera, Hormati Kedaulatan Raja

Oleh : BARD
Julai 24, 2025 - 10:00 MYT
UMNO Pahang Tuntut Titah Addendum Dilaksana Segera, Hormati Kedaulatan Raja

Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang menggesa kerajaan melaksanakan segera Titah Addendum tanpa penangguhan dan alasan politik.

Kewajaran melaksanakan Titah Addendum itu susulan pendakwaan telah mengakui kesahihan kewujudan titah tersebut. Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah juga telah perkenan mengabsahkan Titah Addendum berkaitan pelaksanaan tahanan rumah terhadap Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Dalam satu kenyataan media Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, beliau menjelaskan bahawa Seri Paduka Baginda turut mengabsahkan afidavit yang dikemukakan oleh Presiden UMNO, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, serta beliau sendiri dalam prosiding mahkamah sebelum ini. Afidavit tersebut yang dahulunya diketepikan atas alasan "hearsay", kini jelas tidak lagi relevan setelah kesahihan titah diperakui oleh pihak pendakwaan dan diperkenan oleh Tuanku.

Pelaksanaan Titah Addendum ini bukan sekadar menyentuh soal keadilan kepada Dato’ Sri Najib, tetapi turut mencerminkan komitmen terhadap prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran sistem Raja Berperlembagaan.

Kedaulatan Raja-Raja Melayu bukan sekadar simbol, ia adalah teras kepada sistem pemerintahan negara ini. Apabila titah telah diperkenan, maka menjadi kewajiban kerajaan untuk melaksanakannya, bukan menangguhkannya.

Dalam pada itu, UMNO Pahang merakamkan penghargaan atas keterbukaan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertemu dan berbincang berkenaan isu pelaksanaan Titah Addendum melibatkan Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Kesediaan Perdana Menteri itu dilihat sebagai langkah penting ke arah mencari jalan penyelesaian yang terbaik terhadap isu tersebut.

UMNO Pahang turut menyatakan sokongan terhadap pendirian 160 Ketua UMNO Bahagian dari seluruh negara yang sebelum ini menggesa agar titah berkenaan segera dilaksanakan oleh kerajaan.

Dalam prosiding Mahkamah Persekutuan pada 9 Julai, Jabatan Peguam Negara tidak mempertikai kewujudan Titah Addendum yang membolehkan Najib menjalani hukuman penjara secara tahanan rumah, seperti didakwa terkandung dalam titah Yang di-Pertuan Agong ke-16.

UMNO Pahang sentiasa bersolidariti bersama Datuk Seri Mohd Najib!

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow