60 Anak Pahang Ke Al-Azhar Terima Sumbangan RM120,000: Komitmen Kerajaan Negeri Terhadap Pendidikan Islam
Seramai 60 pelajar anak Pahang yang berjaya melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir, menerima sumbangan khas Kerajaan Negeri Pahang melalui Yayasan Pahang berjumlah RM2,000 seorang, menjadikan keseluruhan peruntukan bernilai RM120,000.
Daripada jumlah penerima tersebut 45 orang merupakan lepasan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dari sekolah di bawah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), 4 orang daripada Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) dan 11 orang pula berasal dari Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS).
Majlis penyerahan sumbangan berlangsung di perkarangan Majlis Daerah Raub yang telah diserahkan sendiri oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail. Turut hadir sama ialah YB Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, YB Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib dan YH Dato’ Haji Ahmad Khirrizal Ab Rahman, Pengarah JAIP.
Dalam ucapannya, YAB Menteri Besar menegaskan bahawa komitmen Pahang terhadap pembangunan pendidikan, khususnya dalam bidang agama, sentiasa menjadi agenda utama kerajaan negeri. Beliau menyifatkan kejayaan pelajar ini sebagai hasil usaha bersama antara pelajar, ibu bapa, guru dan institusi pendidikan Islam di Pahang.
Menteri Besar turut menitipkan pesanan penting kepada para pelajar agar menghargai peluang yang dimiliki dan tidak mensia-siakan kesempatan menuntut ilmu di bumi Mesir, pusat pengajian Islam tertua dan paling berprestij di dunia.
“Tidak semua orang berpeluang ke Universiti Al-Azhar. Ada yang berkorban besar, ada yang bergolok-bergadai demi anak-anak. Gunakan peluang ini sebaiknya. Ingat, hidup hanya sekali,” katanya.
Beliau turut menasihati pelajar agar sentiasa menjaga hubungan dengan ibu bapa walaupun berada jauh di perantauan. Menurutnya, teknologi komunikasi hari ini memudahkan pelajar untuk terus berhubung dan bertanya khabar keluarga.
Sumbangan kepada pelajar Al-Azhar ini adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan Kerajaan Negeri Pahang melalui Yayasan Pahang yang sejak penubuhannya pada tahun 1982 telah menyalurkan lebih RM1.5 bilion dalam bentuk biasiswa, dermasiswa, pinjaman pelajaran dan bantuan khas kepada rakyat negeri ini.
Antara program berkaitan pendidikan yang dilaksanakan termasuk:
Pinjaman Pendidikan Yayasan Pahang untuk pelajar universiti dalam dan luar negara.
Biasiswa Kecemerlangan bagi pelajar berprestasi tinggi.
Bantuan Awal Persekolahan untuk meringankan beban ibu bapa setiap tahun.
Inisiatif Makmur Pahang Kluster Siswa yang diumumkan baru-baru ini untuk menyokong pelajar di peringkat universiti.
Yayasan Pahang terus memainkan peranan penting dalam membentuk generasi muda yang bukan sahaja berilmu, malah memiliki akhlak dan sahsiah terpuji selari dengan hasrat kerajaan negeri melahirkan modal insan berkualiti tinggi.
Wan Rosdy menutup ucapan dengan mengingatkan para pelajar supaya sentiasa mendoakan negeri Pahang agar terus aman, stabil dan makmur.
“Bila negeri kita stabil, politiknya baik, kewangannya kukuh, barulah kita boleh beri perhatian penuh untuk membantu rakyat, termasuk dalam bidang pendidikan,” tegas beliau.
Bantuan kepada 60 pelajar Al-Azhar ini membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri Pahang menjadikan pendidikan salah satu keutamaan khususnya pendidikan Islam sebagai pelaburan jangka panjang. Kejayaan ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih ramai anak Pahang untuk mengorak langkah ke menara gading dalam dan luar negara, seterusnya kembali berbakti kepada agama, bangsa dan negeri.
Apa Reaksi Anda?











