NRES Sokong Operasi Bersepadu Lindungi Hutan Simpan Tasek Bera
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menyokong tindakan Kerajaan Negeri Pahang dalam menangani aktiviti penerokaan tanpa kebenaran di Hutan Simpanan Kekal (HSK) Tasek Bera menerusi pelaksanaan Operasi Tindakan Penguatkuasaan Bersepadu.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup berkata, tindakan bersepadu itu mencerminkan komitmen bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam melindungi khazanah hutan negara serta memastikan ia terus diurus secara mampan.
Menurut beliau, Hutan Simpan Pemuliharaan Tasek Bera telah diwartakan sebagai HSK pada 30 Ogos 2007 di bawah Seksyen 7, Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).
Dalam masa sama, Tasek Bera turut mempunyai kepentingan alam sekitar yang tinggi apabila diiktiraf sebagai Tapak Ramsar pada 1994, susulan nilai ekologi serta kepelbagaian biologi tanah lembapnya yang signifikan di peringkat antarabangsa.
“Sebagai Kementerian yang bertanggungjawab menyelaras pelaksanaan komitmen Malaysia di bawah Konvensyen Ramsar, NRES sentiasa memberikan perhatian terhadap usaha pemuliharaan kawasan tanah lembap yang penting ini.
“Aktiviti di Tapak Ramsar seharusnya dilaksanakan dengan prinsip wise use yang menjadi panduan utama di bawah Konvensyen Ramsar,” katanya dalam satu kenyataan media.
Arthur berkata, sebarang aktiviti penerokaan, penebangan dan pertanian tanpa kebenaran perlu ditangani secara berhemah serta berlandaskan peruntukan undang-undang bagi memastikan keseimbangan ekosistem dan habitat hidupan liar terus terpelihara.
Beliau berkata, operasi penguatkuasaan bersepadu yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pahang sejak September 2026 adalah selaras dengan usaha memperkukuh tadbir urus serta perlindungan kawasan HSK.
Pelaksanaan operasi itu juga mengambil kira keputusan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-79 pada 2 Disember 2021, yang antara lain menekankan kepentingan tindakan penguatkuasaan oleh Kerajaan Negeri bagi menangani aktiviti penerokaan tanpa kebenaran dalam HSK berdasarkan peruntukan Akta 313.
Dalam pada itu, NRES menghormati bidang kuasa Kerajaan Negeri dalam pengurusan dan pentadbiran HSK selaras dengan perundangan negara yang berkuat kuasa.
Pada masa sama, Kementerian akan terus memainkan peranan sebagai penyelaras di peringkat Persekutuan bagi memperkukuh kerjasama strategik dengan Kerajaan Negeri, khususnya dalam aspek pengurusan hutan, penguatkuasaan dan pemuliharaan biodiversiti.
Menurut Arthur, kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan amat penting bagi memastikan usaha pemeliharaan serta pemuliharaan hutan dapat dilaksanakan secara berkesan.
Usaha tersebut turut menyokong komitmen Malaysia yang dibuat semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada 1992 untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan tanah negara dilitupi kawasan berhutan dan pokok-pokok.
Sehubungan itu, NRES melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Negeri Pahang serta agensi berkaitan.
Kerjasama itu merangkumi penyelarasan dasar, khidmat nasihat teknikal, pemantauan serta usaha pemuliharaan kawasan hutan yang terjejas.
NRES menegaskan komitmennya untuk memastikan khazanah hutan dan biodiversiti negara terus dipelihara serta diurus secara mampan.
Pendekatan tersebut akan terus dilaksanakan secara seimbang dengan menggabungkan penguatkuasaan undang-undang, kelestarian alam sekitar dan kepentingan komuniti setempat, demi memastikan khazanah alam Tasek Bera dan kawasan hutan negara terus dinikmati serta diwarisi oleh generasi akan datang.
Apa Reaksi Anda?











