Aaron Chia–Soh Wooi Yik Naib Juara Terbuka Malaysia 2026

Oleh : BARD
Januari 12, 2026 - 11:00 MYT
Aaron Chia–Soh Wooi Yik Naib Juara Terbuka Malaysia 2026

Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan ucapan tahniah kepada beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik atas pencapaian cemerlang muncul sebagai naib juara Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia Petronas 2026.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, meskipun pasangan kebanggaan negara itu belum berjaya menjulang gelaran juara pada kejohanan pembuka tirai tahun 2026, kejayaan mara hingga ke pentas akhir membuktikan tahap kecekalan, disiplin serta semangat juang tinggi yang dimiliki mereka.

Menurutnya, pencapaian tersebut bukan sekadar keputusan perlawanan, sebaliknya mencerminkan usaha berterusan serta kematangan permainan Aaron dan Soh di peringkat tertinggi badminton dunia.

“Setiap langkah yang diambil hari ini menjadi asas kepada kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan. Teruskan melangkah dengan penuh keyakinan, bangkit dengan semangat yang lebih ampuh dan jadikan pengalaman ini sebagai pemangkin untuk menawan kejayaan yang lebih gemilang,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa seluruh rakyat Malaysia sentiasa berdiri teguh di belakang pasangan beregu itu dan akan terus memberikan sokongan penuh terhadap perjuangan mereka di persada antarabangsa.

“Malaysia berbangga, percaya dan sentiasa menyokong usaha mereka hingga ke puncak tertinggi,” katanya lagi. 

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow