Gandingan Naim-Miha Calon Terbaik Teruskan Legasi Bung Moktar
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin bukan sahaja menyatakan sokongan penuh malah rasa bangga terhadap pemilihan calon muda bagi mewakili Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag.
Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Papar turut menyifatkan gandingan Mohd Naim Kurniawan Moktar dan Mohd Ismail Ayob (Miha) sebagai kombinasi berwibawa yang mampu mempertahankan kubu kuat BN tersebut.
“Pemilihan Naim dan Miha adalah berasaskan faktor kewibawaan dan kerja keras yang telah ditunjukkan mereka selama ini. Kedua-dua calon ini adalah individu paling layak untuk memastikan kesinambungan legasi kecemerlangan yang ditinggalkan oleh Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.
“Kita mahu memastikan khidmat bakti arwah Datuk Seri Bung diteruskan. Naim dan Miha mempunyai semangat muda yang tinggi untuk membawa Kinabatangan dan Lamag terus maju,” katanya.
Beliau seterusnya yakin penampilan kedua-dua calon berkenaan mampu melonjakkan keyakinan masyarakat setempat untuk membuat pilihan yang terbaik pada 24 Januari nanti.
“Saya yakin dengan penampilan kedua-dua calon ini, kita akan dapat memberikan kemenangan kepada Barisan Nasional (BN).
“Yang penting bagi saya adalah kebersamaan kita untuk memastikan kemenangan yang cemerlang dengan sokongan daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan semua pihak. Insya-Allah, kita yakin dapat mempertahankan kedua-dua kerusi di DUN Lamag dan Parlimen Kinabatangan,” ujarnya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 24 Januari 2026 sebagai tarikh mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK), Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, manakala tarikh mengundi awal pula akan diadakan pada 20 Januari 2026.
PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, pada 5 Disember lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Allahyarham Bung Moktar mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan dengan majoriti 4,330 undi menewaskan pencabar dari Warisan, Mazliwati Abdul Malek.
Manakala pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 yang berlangsung pada 29 November lalu, bekas Pengerusi Barisan Nasional Sabah itu mempertahankan kerusi DUN Lamag selepas menang dengan majoriti tipis 153 undi dalam persaingan enam penjuru.
Apa Reaksi Anda?











