Ahmad Zahid: Seimbang Fizikal, Spiritual Teras Kepimpinan Unggul
Kepimpinan berkesan bukan sekadar membina kemudahan fizikal, tetapi turut memelihara kesejahteraan jiwa, nilai dan perasaan dihargai. Itulah mesej utama yang ditekankan Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam membentuk kepimpinan serta menentukan hala tuju masa depan perkhidmatan awam negara.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, pembangunan infrastruktur, penyediaan peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan dan kemudahan yang mencukupi perlu diseimbangkan dengan aspek spiritual, termasuk kesejahteraan hati, pemikiran, nilai serta penghargaan terhadap individu.
“Satu perkara yang saya tekankan sebentar tadi ialah mengenai pentingnya perimbangan antara physical happiness dan spiritual happiness,” katanya menerusi hantaran di Facebook selepas berkongsi pandangan serta pengalaman bersama peserta Program Kepimpinan dan Pengurusan Lanjutan (ALMP) Siri 89 di INTAN Bukit Kiara, semalam.
Dalam sesi perkongsian itu, beliau turut mengingatkan penjawat awam yang bakal menerajui kepimpinan perkhidmatan awam supaya memiliki keberanian, keupayaan bertindak dan kesediaan mencetuskan perubahan yang membawa manfaat kepada organisasi serta rakyat.
“Pesan saya kepada para penjawat awam yang bakal menerajui perkhidmatan awam pada masa hadapan, jadilah pemimpin yang hands-on, berani membuat keputusan dan sentiasa mencari ruang untuk mencipta game changer,” katanya.
Menurut beliau, pemimpin masa depan perlu turun padang, memahami realiti dan keperluan rakyat serta tidak sekadar bergantung pada pendekatan pentadbiran konvensional. Keberanian membuat keputusan dan kesungguhan meneroka pembaharuan penting bagi memastikan perkhidmatan awam terus relevan, cekap dan berkesan.
Ahmad Zahid turut berharap segala ilmu, pandangan dan pengalaman yang dikongsikan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para peserta sebagai bekalan untuk memperkukuh keupayaan kepimpinan masing-masing.
Keseimbangan antara pembangunan fizikal, kesejahteraan spiritual dan kepimpinan berorientasikan perubahan merupakan antara asas penting dalam melahirkan barisan penjawat awam yang bukan sahaja kompeten, malah berintegriti, berjiwa rakyat dan bersedia memacu kecemerlangan perkhidmatan awam pada masa hadapan.
Apa Reaksi Anda?











