Bantuan Kerajaan Pahang Perkukuh Pengurusan JPKK dan Aktiviti Komuniti
Bantuan Kerajaan Negeri Pahang berjumlah RM379,316 kepada 19 penerima di daerah Maran membantu memperkukuh pengurusan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta menyokong pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan di peringkat akar umbi.
Pengerusi JPKK Felda Jengka 10, Jantan Mat Saman, berkata sumbangan berkenaan amat bermakna bagi melengkapkan keperluan asas pejabat yang sebelum ini tidak mencukupi, sekali gus memudahkan urusan pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan kepada penduduk.
Menurutnya, sejak mula menerima pejabat, kemudahan seperti meja dan kerusi masih belum tersedia sepenuhnya. Bantuan yang diterima kini membolehkannya mendapatkan kelengkapan diperlukan.
Beliau yang telah berkhidmat sebagai ketua kampung sejak 1981 turut menghargai keprihatinan Kerajaan Negeri dalam membantu memenuhi keperluan pengurusan JPKK dan berharap sokongan serta kerjasama masyarakat terhadap pentadbiran negeri terus diperkukuh.
Sementara itu, Pengerusi JPKK Kampung Serengkam merangkap Presiden Persatuan Silat Kebangsaan Daerah Maran (PESAKA Maran), Azman Mokhtar @ Jantan, berkata sumbangan tersebut akan dimanfaatkan bagi menyokong pelbagai aktiviti persatuan yang melibatkan 13 perguruan silat di daerah berkenaan.
Katanya, bantuan itu memberi ruang kepada persatuan untuk meneruskan program sedia ada serta memperluas penglibatan masyarakat dalam aktiviti seni mempertahankan diri.
Kedua-dua penerima turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang, khususnya Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, atas sumbangan yang disalurkan.
Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Menteri Besar pada satu majlis di Pejabat Daerah dan Tanah Maran.
Inisiatif ini mencerminkan usaha Kerajaan Negeri Pahang membantu memenuhi keperluan organisasi di peringkat akar umbi, di samping memperkasakan peranan pemimpin komuniti dan persatuan dalam menjayakan pembangunan masyarakat setempat.
Apa Reaksi Anda?











