Akta PSB : Pembangkang Tandus Idea

Oleh : BARD
Mac 19, 2025 - 16:40 MYT
Akta PSB : Pembangkang Tandus Idea

Taktik menggunakan sentimen perkauman sebagai alat propaganda bukan lagi sesuatu yang asing. Baru-baru ini, dakwaan bahawa pindaan Akta Perancangan Bandar dan Desa (Akta PSB) bertujuan untuk mengusir orang Melayu dari bandar telah mula diperkatakan, menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat. Namun, adakah dakwaan ini berasaskan fakta, atau sekadar retorik politik untuk menanam kebencian? Ketika mana, membincangkan isu ini, adalah penting bagi kita menilai kebenaran di sebalik naratif yang dibawa serta memahami kesannya terhadap perpaduan negara.

Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB), atau Urban Renewal Act (URA), merupakan inisiatif kerajaan untuk membangunkan semula kawasan perumahan lama dan usang di bandar. Rang Undang-Undang (RUU) PSB dijangka dibentangkan di Parlimen pada sesi Julai 2025, setelah melalui proses semakan oleh Jabatan Peguam Negara serta mendapat kelulusan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

Namun, cadangan penggubalan akta ini mendapat tentangan daripada pihak pembangkang, khususnya Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Mereka menyuarakan kebimbangan bahawa akta ini mungkin menjadi satu bentuk taktikal halus untuk menyingkirkan golongan Melayu dan India miskin dari kawasan bandar. Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berpendapat bahawa undang-undang sedia ada sudah memadai untuk tujuan pembangunan, sekali gus menolak keperluan menggubal akta baharu.

Ironinya, Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) sebenarnya mula dirancang pada tahun 2021 semasa pentadbiran Perikatan Nasional (PN). Ketika itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Zuraida Kamaruddin, mencadangkan penggubalan akta ini bagi memastikan pembangunan negara berjalan secara lebih mampan tanpa menjejaskan perancangan jangka panjang. Tidak pula kedengaran suara-suara Ahli Parlimen PAS menyatakan bantahan ketika itu.

Projek Pembangunan Semula Bandar Mahsuri di kawasan Parlimen Bayan Baru, adalah contoh kejayaan. Perlaksanaan Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB), pemilik asal akan menerima sebuah flat baharu berkeluasan 850 kaki persegi, menggantikan flat asal yang hanya berukuran 350 kaki persegi dan ini diberikan secara percuma.

Secara logiknya, kediaman yang lebih luas pasti menawarkan keselesaan yang lebih baik kepada seisi keluarga. Namun, adalah tidak wajar untuk menganggap bahawa sebuah flat satu bilik mampu memenuhi keperluan sebuah keluarga besar. Keadaan ini boleh menimbulkan kesulitan, termasuk risiko berlakunya masalah sosial seperti sumbang mahram akibat ruang yang terhad. Bayangkan flat yang dibina 30 tahun dahulu yang hanya mempunyai satu bilik.

Kanak-kanak memerlukan ruang yang selesa untuk membesar dalam persekitaran yang sihat. Jika rumah terlalu sempit, mereka mungkin merasa tertekan dan lebih cenderung untuk berkeliaran di bandar kerana tiada alternatif lain yang lebih sesuai. Oleh itu, isu ini perlu dipertimbangkan dengan teliti demi kesejahteraan penduduk yang terlibat.

Bukan itu sahaja, kebanyakan penduduk di kawasan tersebut sudah tidak lagi menetap di situ, sebaliknya menyewakan kediaman mereka kepada pekerja asing untuk meraih keuntungan dengan mudah. Sementara itu, penduduk yang masih menetap di situ hanyalah golongan tempatan yang benar-benar dhaif dan tidak berkemampuan untuk berpindah ke tempat yang lebih selesa.

Flat Mahsuri, yang terdiri daripada enam blok lima tingkat di Lorong Mahsuri, telah dibina pada awal tahun 1980-an. Setelah lebih empat dekad, flat kos rendah ini semakin usang dan kurang sesuai untuk didiami. Malah, salah satu blok telah dirobohkan kerana strukturnya yang tidak lagi kukuh. Keadaan ini mengakibatkan pengurusan sampah dan penyelenggaraan lif menjadi semakin tidak teratur serta terabai.

Selain itu, keadaan fizikal flat yang semakin usang juga meningkatkan risiko keselamatan kepada penghuni. Struktur bangunan yang sudah berusia lebih empat dekad berkemungkinan mengalami kerosakan serius seperti dinding retak, siling bocor, dan sistem pendawaian elektrik yang usang, yang boleh menyebabkan kejadian tidak diingini seperti kebakaran atau runtuhan. Hal ini bukan sahaja membahayakan nyawa penghuni, malah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat sekitar.

Tambahan pula, ketiadaan kemudahan yang mencukupi di kawasan ini menyukarkan kehidupan seharian penduduk. Taman permainan yang rosak, tempat letak kenderaan yang terhad, serta kemudahan awam yang kurang diselenggara memberi impak negatif kepada kesejahteraan penduduk. Anak-anak kecil tidak mempunyai tempat yang selamat untuk bermain, manakala golongan warga emas dan kurang upaya menghadapi kesukaran untuk bergerak tanpa kemudahan lif yang berfungsi dengan baik.

Oleh itu, pihak berkuasa tempatan perlu mengambil tindakan segera untuk menangani masalah ini dengan menyediakan alternatif penempatan yang lebih selesa dan selamat. Langkah ini bukan sahaja memberi manfaat jangka panjang kepada penghuni, tetapi juga memastikan kesejahteraan mereka terpelihara. Selain itu, penduduk akan menikmati ruang kediaman yang lebih luas, sekali gus meningkatkan tahap keselesaan mereka.

Sebagai sebuah negara yang menjunjung prinsip keadilan dan kesejahteraan rakyat, sebarang dasar pembangunan haruslah dilaksanakan dengan mengambil kira kepentingan semua pihak. Pindaan Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) bukanlah satu bentuk penindasan, tetapi satu usaha untuk memastikan persekitaran hidup yang lebih selesa, selamat, dan berkualiti bagi masyarakat bandar.

Namun, kerajaan juga perlu telus dalam pelaksanaan projek ini bagi mengelakkan salah faham yang boleh menjejaskan keharmonian rakyat. Sementara itu, masyarakat harus berfikiran terbuka dan menilai sesuatu isu berdasarkan fakta, bukan sentimen semata-mata.

Sebagaimana pepatah Melayu berkata, "Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya." Usaha pembaharuan memerlukan pengorbanan dan perancangan yang teliti, tetapi hasilnya nanti akan memberi manfaat kepada generasi akan datang. Dengan kesepaduan dan sikap saling memahami, kita mampu membina sebuah negara yang lebih maju dan sejahtera untuk semua.

Nukilan

Nadia Rose

Mewangi Tapi Berduri

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow