Belanjawan Pahang 2026 Diiktiraf Menyeluruh & Realistik — Fokus Utama Kesejahteraan Rakyat
Belanjawan Pahang 2026 yang dibentangkan oleh Menteri Besar, YAB Dato' Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail mendapat pujian sebagai belanjawan paling komprehensif dan berpaksikan rakyat.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO Pahang, Mustaqim Zakaria menyifatkan belanjawan ini sebagai bukti kesungguhan kerajaan negeri dalam membangunkan Pahang sebagai negeri makmur, progresif dan inklusif.
Menurut Mustaqim, kerajaan negeri menunjukkan komitmen kukuh terhadap pembangunan Islam melalui naik taraf sekolah-sekolah agama, pembinaan masjid baharu, kenaikan elaun guru al-Quran dan pengukuhan institusi tahfiz. Beliau berkata langkah ini selaras dengan prinsip Maqasid Syariah dan memastikan pembangunan negeri terus berlandaskan nilai-nilai Islam.
Belanjawan ini turut memberi keutamaan kepada pembangunan generasi muda melalui program kepimpinan belia, latihan kemahiran dan peluang TVET, bantuan pendidikan dan pelbagai bentuk sokongan untuk mahasiswa IPT.
Mustaqim menegaskan bahawa fokus ini penting bagi melahirkan generasi muda yang berdaya saing, inovatif dan bersedia menghadapi masa depan.
Belanjawan 2026 juga menyediakan pelbagai program khas untuk komuniti Felda bagi memastikan, akses pembangunan sosial dan pendidikan, peningkatan kualiti hidup warga peneroka dan pengukuhan perpaduan dalam komuniti. Usaha ini, katanya, membuktikan kerajaan negeri tidak mengabaikan kelompok peneroka yang menjadi tonggak pembangunan luar bandar.
Keluarga B40 terus menerima manfaat melalui pelbagai inisiatif kebajikan, antaranya bantuan makanan asas, pengurangan yuran sekolah agama, program Jualan Makmur, kad kesihatan serta bantuan topi keledar. Inisiatif ini membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup sekali gus memastikan tiada golongan yang tercicir.
“Belanjawan ini jelas mencerminkan iltizam kerajaan negeri untuk menjadikan Pahang sebagai negeri maju, inklusif dan berpandangan jauh,” ujar Mustaqim.
Beliau menegaskan bahawa keseluruhan pembentangan adalah selari dengan aspirasi ‘Pahang 1st: Rakyat Didahulukan, Kemakmuran Dipertahankan’.
Apa Reaksi Anda?











