“Bukan UMNO yang Lenyap, Tetapi Nama Ruddy Yang Pupus Di Pitas”

Oleh : BARD
Oktober 31, 2025 - 10:00 MYT
“Bukan UMNO yang Lenyap, Tetapi Nama Ruddy Yang Pupus Di Pitas”

Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Sabah, Datu Rosman Datu Akhir Zaman, menyifatkan kenyataan Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Ruddy Awah, yang mendakwa mahu menamatkan pengaruh UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 sebagai “melucukan dan angkuh”.

Dalam satu kenyataan hari ini, Datu Rosman berkata, Ruddy seharusnya sedar kedudukannya dalam politik negeri hari ini hanya wujud hasil daripada “sisa pengkhianatan” beberapa bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang meninggalkan parti selepas Pilihan Raya Negeri 2020.

“Hakikat yang tidak mampu Ruddy Awah telan ialah kerjaya politiknya hari ini bertahan kerana tindakan khianat beberapa ADUN UMNO. Tanpa pengkhianatan itu, kerajaan GRS sudah lama rebah, dan bersama kejatuhannya, tamatlah juga riwayat politik Ruddy Awah,” katanya.

Datu Rosman turut mengkritik sejarah lompat parti Ruddy, yang berpindah antara empat parti dalam tempoh kurang empat tahun iaitu bermula dengan PKR, kemudian Bebas, BERSATU, dan kini GAGASAN.

“Setiap kali kuasa berubah, beliau cepat menyesuaikan diri untuk kekal dalam kabinet. Itu bukan tanda berprinsip, tetapi tanda politik oportunis tanpa arah dan pendirian,” ujarnya lagi.

Menurut beliau, serangan Ruddy terhadap UMNO bukanlah tanda kekuatan, sebaliknya reaksi cemas seorang ahli politik yang semakin kehilangan pengaruh di kawasan sendiri.

“Beliau cuba menutup sejarah lompatannya dengan menuding jari kepada UMNO, sedangkan rakyat tahu siapa sebenarnya yang berubah-ubah demi jawatan,” katanya.

Datu Rosman menegaskan, UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah kekal utuh, berstruktur dan berprinsip, tidak seperti pemimpin yang bergantung kepada “kuasa sementara”.

“Ruddy Awah boleh berpaut pada kuasa sementara, tetapi rakyat tidak akan berpaut pada pemimpin yang menjual prinsip demi jawatan. Akhirnya nanti, bukan UMNO yang akan lenyap, tetapi nama Ruddy Awah yang akan pupus bersama sisa-sisa kepercayaannya di Pitas,” tambahnya lagi. 

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow