Ismanira didapati bersalah abai Zayn Rayyan

Oleh : BARD
Oktober 31, 2025 - 11:06 MYT
Ismanira didapati bersalah abai Zayn Rayyan

Ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas satu kes pengabaian terhadap kanak-kanak autisme itu dua tahun lalu.

Hakim, Dr Syahliza Warnoh, memutuskan demikian selepas mendapati tertuduh, Ismanira Abdul Manaf, 30, gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaannya.

Sebaik keputusan dibacakan, Ismanira kelihatan berpaling ke arah keluarganya dan suaminya dari kandang tertuduh.

Keluarga dan suaminya turut kelihatan terkejut dengan keputusan tersebut sebelum kedengaran laungan “Allahuakbar” dari galeri awam.

Prosiding kemudiannya ditangguhkan bagi memberi ruang kepada pihak pendakwaan untuk berhujah berhubung pemberatan hukuman, sementara pihak pembelaan dijadualkan mengemukakan rayuan mitigasi bagi mengurangkan hukuman.

Pada 13 Jun tahun lalu, Ismanira dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, 30, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan terbabit.

Mengikut pertuduhan pindaan, pasangan itu didakwa bersama-sama sebagai individu yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam keesokkannya.

Pada 21 Julai lalu, nasib menyebelahi Zaim Ikhwan apabila mahkamah membebaskannya daripada pertuduhan berkenaan selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, kira-kira jam 10 malam.

Mangsa sebelum itu dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Pendakwaan dalam kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Kamarul Iman Ahmad Sapian, manakala tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow