Laporan Berita Mengelirukan, Tuntut SKMM Siasat Sebuah Stesen TV

Oleh : BARD
Oktober 31, 2025 - 12:00 MYT
Laporan Berita Mengelirukan, Tuntut SKMM Siasat Sebuah Stesen TV

Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali mendesak Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas terhadap sebuah stesen televisyen atas laporan berita mengelirukan membabitkan UMNO.

Beliau berkata ini kerana laporan dalam rancangan Berita 7:57 terbitan Awesome TV bertajuk “Zahid Rosakkan UMNO, Muhyiddin Lemaskan Bersatu” seolah-olah menggambarkan tuduhan terhadap Presiden UMNO sebagai fakta, sekali gus boleh mengelirukan orang awam.

“UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya desak tindakan tegas SKMM terhadap Berita 7:57 dan Pemilik Awesome TV. Kami menzahirkan bantahan keras terhadap laporan tidak beretika yang disiarkan dalam rancangan tersebut.

“Klip tersebut jelas mengelirukan orang awam, menyebarkan tuduhan liar terhadap Presiden UMNO, serta menyiarkan pandangan “pemerhati” seolah-olah fakta benar.

“Tindakan ini melanggar prinsip kewartawanan profesional dan merosakkan imej parti serta institusi politik negara,” katanya menerusi satu kenyataan.

Katanya lagi, ini bukan kali pertama Awesome TV terbabit dalam pelanggaran etika penyiaran yang serius.

Malah berlaku pelanggaran berulang yang membuktikan stesen televisyen itu gagal mematuhi etika penyiaran dan syarat lesen.

“Perlu diingat, ini bukan pelanggaran pertama oleh mereka kerana pada Februari 2023, mereka disiasat oleh SKMM kerana laporan palsu kononnya 800,000 penjawat awam bakal diberhentikan.

“Pada Mei 2023, dikenakan kompaun RM250,000 atas pelanggaran lesen penyiaran dan operasi tidak sah. Manakala PRU-15 (2022) dikecam kerana laporan berunsur perkauman dalam segmen Berita 7:57,” ujar beliau.

Mohd Ridhwan seterusnya memohon SKMM untuk menyiasat segera kandungan dan keseluruhan amalan editorial berita tersebut dengan tindakan tegas, termasuk penggantungan atau pembatalan lesen sekiranya didapati melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Mewajibkan pembetulan terbuka serta menguatkuasakan garis panduan ketat terhadap laporan bersifat persepsi, fitnah dan tidak berimbang,” ujar beliau. 

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow