Kenaikan Cukai Taksiran 245%: Bukti PAS Kedah Kian Hilang Arah, Rakyat Jadi Mangsa
Rakyat di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) kini dikejutkan dengan notis kenaikan cukai taksiran yang bakal berkuat kuasa pada tahun 2026. Bagi ramai penduduk dan peniaga kecil, notis itu bukan sekadar berita buruk tetapi tamparan hebat terhadap kemampuan mereka untuk terus bertahan dalam keadaan ekonomi yang masih belum pulih.
Kenaikan sehingga 245% ini benar-benar tidak munasabah. Semakan selepas lebih 30 tahun mungkin wajar dilakukan, namun pelaksanaan secara mendadak dan melampau adalah tindakan yang tidak berperikemanusiaan. Apa gunanya bercakap soal “Negeri Sejahtera” jika dasar kerajaan negeri sendiri menambah derita rakyat?
Di bawah pemerintahan PAS Kedah dan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, pentadbiran negeri semakin menampakkan wajah sebenar jauh daripada slogan “membela rakyat” yang mereka dendangkan setiap kali ceramah politik. Realitinya, kerajaan PAS Kedah semakin rakus dalam menggali hasil tanpa memikirkan kesan terhadap rakyat bawahan.
Lebih membimbangkan, kadar kenaikan ini berlaku secara tidak seimbang antara zon. Ada kawasan seperti Zon E (Seberang Jalan Putra) meningkat daripada RM377 kepada RM1,299, manakala kawasan perindustrian Mergong 2 melonjak dari RM1,964 kepada RM5,390. Lonjakan luar biasa ini mencecah antara 139% hingga 245%, seolah-olah MBAS tidak langsung menilai kemampuan sebenar rakyat.
Akibatnya, banyak premis perniagaan kecil kini terpaksa menutup operasi, disita, malah ada yang gulung tikar. Kesan rantaian ini amat besar bukan sahaja terhadap peniaga, tetapi juga terhadap peluang pekerjaan dan aktiviti ekonomi di bandar raya itu sendiri. Alor Setar yang dahulunya menjadi nadi perniagaan kecil dan sederhana kini sedang menuju ke arah menjadi “bandar kos tinggi, aktiviti rendah” hasil dasar tidak bijak kerajaan negeri.
Persoalannya, ke mana hilangnya keprihatinan yang sering dilaungkan PAS Kedah? Jika benar mereka ingin membantu rakyat, mengapa tidak melaksanakan pelarasan secara berperingkat, seperti yang diamalkan oleh negeri lain termasuk Pulau Pinang, di mana kenaikan hanya sekitar 2% hingga 5% setiap dua tahun? Pendekatan itu terbukti lebih munasabah, berasaskan data dan diterima baik oleh rakyat.
Tindakan tergesa-gesa ini jelas menunjukkan kelemahan kepimpinan Sanusi dalam mengurus fiskal negeri. Bila sumber pendapatan negeri merosot akibat kegagalan menarik pelaburan baharu, jalan pintas yang mereka ambil ialah dengan mengorek poket rakyat sendiri. Ia bukan dasar berhemah, tetapi dasar putus asa.
Rakyat Kedah kini perlu membuka mata. Jangan terus terpedaya dengan retorik kononnya kerajaan PAS membawa berkat dan keadilan. Hakikatnya, di bawah kepimpinan Sanusi, rakyat terus dihimpit beban daripada masalah air yang tidak berkesudahan, pembangunan yang ketinggalan, kini ditambah pula dengan cukai yang menggila.
Cukai boleh dinaikkan, tetapi biarlah berasaskan kemampuan rakyat. Pembangunan tidak boleh dibina di atas penderitaan. Jika PAS Kedah benar-benar berjuang atas dasar Islam seperti yang mereka dakwa, maka keadilan sosial dan kebertanggungjawaban terhadap rakyat seharusnya menjadi asas utama, bukan sekadar slogan politik untuk menutup kelemahan sendiri.
Rakyat mesti bertindak. Semua pemilik premis dan peniaga di bawah pentadbiran MBAS diseru mengemukakan bantahan rasmi sebelum 5 November 2025 tarikh akhir yang dinyatakan dalam notis MBAS. Jangan biarkan kerajaan negeri terus bermaharajalela tanpa ditegur.
Akhirnya, isu ini bukan sekadar tentang cukai. Ia tentang keadilan, kejujuran dan maruah rakyat Kedah yang kini semakin dipijak oleh kerajaan yang kononnya “memerintah atas dasar Islam”.
PAS boleh menukar slogan sesuka hati dari “Islam Memimpin” kepada “Prihatin Rakyat” tetapi jika dasar mereka terus menindas, rakyat tahu siapa yang sebenarnya zalim.
Slogan “PAS Untuk Semua” nampaknya kini lebih sesuai diganti dengan “PAS Untuk Cukai” sebab setiap dasar mereka, yang untung bukan rakyat, tetapi kerajaan yang gagal mengurus negeri dengan bijak.
Apa Reaksi Anda?











