Kerajaan Pahang Terus Unggul: Hasil Cecah RM1 Bilion, Pembangkang Hanya Pandai Berbunyi
Kerajaan Negeri Pahang sekali lagi membuktikan keampuhan pentadbirannya apabila berjaya mencatat kutipan hasil melebihi RM1 bilion bagi tahun 2025 yang menjadikannya empat tahun berturut-turut negeri ini mengekalkan prestasi kewangan luar biasa sejak 2022.
Di kala sesetengah negeri pembangkang masih bergelut mencari hala tuju dan menuding jari sesama sendiri, Pahang di bawah pimpinan YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail terus menunjukkan hasil kerja nyata, bukan sekadar janji kosong atau slogan politik murahan.
“Mulai hari ini saya sahkan hasil kerajaan negeri telah mencapai sasaran RM1 bilion, dan saya yakin angka ini akan terus meningkat menjelang akhir tahun,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Visit Malaysia 2026 – Pahang First di KOMPSAS, Kuantan.
Kejayaan ini membuktikan dasar ekonomi negeri yang terancang dan kestabilan politik di bawah kepimpinan beliau terus menghasilkan impak positif. Tiada retorik, tiada drama dalaman dan hanya kerja keras dan hasil nyata untuk rakyat.
“Kejayaan ini bukan hasil individu, tetapi hasil kesepaduan semua penjawat awam, pemimpin kerajaan dan rakyat yang bertanggungjawab. Sepertimana dijanjikan, hasil ini akan dibahagi semula untuk rakyat,” ujar beliau lagi.
Menepati gaya kepimpinan beliau yang konsisten dan berjiwa rakyat, Wan Rosdy turut mengulangi jaminannya bahawa jika hasil negeri mencecah RM1.6 bilion, penjawat awam negeri akan menerima bantuan khas kewangan dua bulan gaji.
Namun, beliau menegaskan bahawa walaupun sasaran itu belum dicapai, bayaran tidak kurang daripada 1.5 bulan gaji tetap akan diberikan, sebagaimana tahun lalu ini bukti keprihatinan terhadap barisan perkhidmatan awam yang menjadi tulang belakang pentadbiran negeri.
Untuk rekod, hasil negeri Pahang menunjukkan peningkatan stabil setiap tahun:
2022: RM1.04 bilion
2023: RM1.18 bilion
2024: RM1.27 bilion
2025 (setakat November): Melebihi RM1 bilion
Sumber utama hasil negeri termasuk premium tanah, hasil hutan, perlombongan dan pelaburan strategik semuanya diurus secara telus dan berkesan.
Berbeza dengan negeri pembangkang yang sering mencipta alasan kononnya “kekangan pusat”, Pahang tidak pernah menjadikan itu sebagai halangan. Di bawah kepimpinan Wan Rosdy, negeri ini terus mara dengan perancangan rapi, pelaburan aktif dan visi jelas melalui kempen “Pahang First” menjelang Visit Malaysia 2026.
Tatkala ada pemimpin pembangkang sibuk bergaduh, memecat dan menukar pengerusi negeri sesuka hati, kerajaan negeri Pahang membuktikan bahawa kestabilan dan integriti adalah kunci kepada hasil sebenar.
Pahang bukan sahaja mampu berdikari, malah terus menjadi model pentadbiran cekap yang memulangkan hasil kepada rakyat.
Dengan momentum semasa, jelas bahawa Pahang kekal di landasan kukuh yang bekerja untuk rakyat, bukan berpolitik demi kuasa.
Apa Reaksi Anda?











