Matthew Davies kembali perkuat Harimau Malaya
Pertahanan kanan berpengalaman, Matthew Davies kembali memperkuat skuad Harimau Malaya selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan panjang yang dialaminya sebelum ini.
Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski menyenaraikan semula pemain kelahiran Australia itu dalam kem latihan pusat skuad kebangsaan yang akan bermula Isnin depan.
Menurut kenyataan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), seramai 27 pemain dipanggil untuk menyertai kem latihan berkenaan yang dijadual berlangsung dari 10 hingga 17 November sebagai persiapan menghadapi perlawanan timbal balik Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal pada 18 November di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Daripada jumlah tersebut, 24 pemain dikekalkan daripada skuad yang menentang Laos bulan lalu dan Cklamovski turut memanggil Ryan Lambert untuk memperkuatkan pasukan.
Turut menyertai skuad kali ini ialah Aliff Izwan Yuslan dari skuad B-23 tahun selain Muhammad Ubaidullah Shamsul yang terus mendapat kepercayaan barisan kejurulatihan.
Sementara itu, 11 pemain diletakkan dalam senarai bersedia termasuk dua pemain Wan Ahmad Kuzain Wan Ahmad Kamal dan Luqman Hakim Shamsudin sekiranya khidmat mereka diperlukan.
Setakat ini, Harimau Malaya mendahului Kumpulan F dengan rekod tanpa kalah selepas mengumpul 12 mata daripada empat perlawanan tiga mata di hadapan pencabar terdekat, Vietnam.
Bulan lalu, skuad negara tampil cemerlang apabila menewaskan Laos 3-0 di laman lawan dan 5-1 dalam aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Apa Reaksi Anda?











