PPBM Hilang Arah Tiada Hala Tuju, UMNO Terus Kukuh Di Akar Umbi
Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Dato' Rosni Zahari menegaskan bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kini semakin kehilangan momentum politik serta gagal menunjukkan arah tuju yang jelas kepada penyokong dan rakyat.
Menurutnya, keadaan itu semakin ketara apabila beberapa tokoh utama parti tersebut dilihat tidak lagi memainkan peranan, malah ada yang telah meninggalkan parti berkenaan.
“PPBM kini dilihat kehilangan momentum politik terutamanya selepas beberapa tokoh utama tidak aktif mahupun keluar parti. Parti tersebut tidak mempunyai arah tuju parti yang jelas dan juga tiada kekuatan malah tidak stabil diakar umbi. Sebaliknya UMNO masih mempunyai struktur, sejarah dan pengaruh institusi walaupun menghadapi cabaran reputasi tapi UMNO masih mendapat sokongan pengundi muda.
“Kekurangan asas perjuangan dan ketiadaan struktur organisasi yang tersusun menyebabkan PPBM sukar mengekalkan kesetiaan ahli serta keyakinan pengundi. Justeru, keadaan itu memperlihatkan kelemahan parti tersebut dalam membina kepercayaan politik jangka panjang.
“UMNO telah melalui pelbagai fasa cabaran, namun kekal berdiri teguh kerana perjuangannya walaupun diasak oleh pelbagai tohmahan dan cabaran politik serta tidak goyah dan berpaksikan kepentingan agama, bangsa, dan tanah air,” katanya kepada UMNO Online.
Rosni yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran menjelaskan usaha Wanita UMNO bukan hanya memperjelaskan dasar dan perkukuhkan parti tetapi mahukan kestabilan politik terus terjamin dibawah parti ini.
“Wanita UMNO mesti menjadi suara dan tenaga utama dalam memperjelaskan dasar serta memperkukuh imej parti. Fokus kita adalah untuk memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat terus terjamin di bawah kepimpinan yang berwibawa.
“Peranan wanita amat penting bukan sahaja dalam gerak kerja politik, tetapi juga dalam membentuk naratif positif tentang perjuangan parti. Kita mahu masyarakat melihat bahawa UMNO komited memperjuangkan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh, bukan retorik semata-mata,” katanya lagi.
Seterusnya kata beliau lagi, Wanita UMNO akan terus menjadi penghubung utama antara rakyat dan parti, membawa aspirasi golongan wanita, belia serta masyarakat luar bandar agar terus terbela di bawah pentadbiran yang stabil.
“Kita harus kekal fokus dan tidak mudah terpengaruh dengan dakyah pihak lawan. UMNO dan Barisan Nasional (BN) mempunyai rekod yang jelas dalam membangunkan negara, dan rakyat sudah semakin sedar siapa sebenarnya yang konsisten memperjuangkan kepentingan mereka.
“Dengan semangat kesetiaan, keikhlasan dan kerja berpasukan dalam kalangan ahli Wanita UMNO perlu terus diperkukuh bagi memastikan parti terus bergerak maju menghadapi cabaran politik semasa,” ujarnya.
Tegasnya, UMNO akan terus bangkit dengan wajah baharu, berteraskan nilai perjuangan lama yang murni tetapi disesuaikan dengan realiti politik moden dan tidak akan biarkan parti ini hilang arah seperti yang berlaku kepada parti lain.
Apa Reaksi Anda?











