Usah risau lihat pesawat terbang rendah, bunyi letupan - TUDM

Orang ramai tidak perlu panik atau bimbang sekiranya melihat pesawat terbang rendah dan terdengar bunyi letupan di sekitar ruang udara di negeri ini pada 15 hingga 18 September.
Bahagian Perhubungan Awam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam kenyataannya berkata, situasi itu adalah sebahagian daripada latihan penerbangan secara taktikal melibatkan pesawat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terdiri daripada pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter.
Menurutnya, latihan tersebut diadakan bagi persiapan demonstrasi dinamik sempena acara Perbarisan Hari ATM Ke-92 dan Karnival CIMIC pada 20 dan 21 September ini di Pangkalan Udara Kuantan.
"Demonstrasi dinamik itu akan mempamerkan keupayaan ATM dalam melindungi kedaulatan negara serta melaksanakan operasi menyelamat tebusan daripada pihak musuh.
"Semasa demonstrasi tersebut, ia turut melibatkan beberapa letupan namun orang awam dinasihatkan agar tidak panik dengan situasi itu," jelas kenyataan tersebut.
Dalam kenyataan itu juga, TUDM menjemput seluruh rakyat untuk bersama-sama memeriahkan sambutan Hari ATM Ke-92 yang bertemakan ‘Angkatan Masa Hadapan: Kedaulatan Dijulang, Pertahanan Diperkasa’.
"Sambutan ini dibuka kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menyaksikan pameran statik aset-aset ATM dan demonstrasi dinamik secara langsung pada tarikh tersebut," katanya.
Apa Reaksi Anda?






