Dividen Sawit Cecah RM1,200, 147 Penduduk Orang Asli Paya Sendayan Terima Manfaat
Seramai 147 penduduk Orang Asli Kampung Paya Sendayan menikmati agihan dividen sebanyak RM1,200 seorang hasil pengurusan ladang kelapa sawit seluas 600 ekar menerusi Projek Tanaman Semula Komersial Orang Asli (TSKOA).
Peningkatan agihan berbanding RM700 hingga RM1,000 sebelum ini mencerminkan potensi projek berkenaan, didorong pengurusan ladang yang baik serta kenaikan harga pasaran sawit. Projek itu dilaporkan mula memberikan hasil hampir tiga tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kerajaan negeri akan terus memperkasa ekonomi dan kebajikan masyarakat Orang Asli melalui pembangunan tanah serta pelaksanaan projek berimpak kepada penduduk.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Dividen TSKOA Paya Sendayan yang turut menyaksikan penyerahan bakul makanan kepada 384 keluarga serta bantuan komputer kepada pelajar Orang Asli yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada Aspirasi Pahang 1st yang diumumkan Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, bagi memperkukuh kesejahteraan rakyat menerusi bantuan kebajikan dan sokongan pendidikan.
Syed Ibrahim turut menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan masyarakat Orang Asli di seluruh Pahang mendapat peluang pembangunan yang sewajarnya, termasuk melalui kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Orang Asli Corporation (ORACO), pejabat daerah dan jawatankuasa setempat.
Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak mengambil kesempatan terhadap masyarakat Orang Asli, khususnya dalam urusan tanah, demi kepentingan peribadi.
Usaha berterusan ini diharap dapat membuka lebih banyak peluang ekonomi, meningkatkan taraf hidup serta memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati masyarakat Orang Asli secara adil dan berterusan.
Apa Reaksi Anda?











