Dr Akmal Saleh Rayu Mohon PM Tolak Desakan Iktiraf UEC
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan pendirian tegas menolak pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan merayu kepada Perdana Menteri agar tidak tunduk kepada desakan untuk mengiktiraf sijil tersebut.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin berkata ini kerana UEC tidak selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan kerana sistem peperiksaan itu tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama serta tidak mengikuti kurikulum kebangsaan seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan.
“Kepada Perdana Menteri saya merayu janganlah mengiktiraf UEC selagi tidak menepati Dasar Pendidikan Negara, selagi itulah kita tidak boleh terima UEC.
“Apatah lagi hendak samakan dengan SPM ataupun STPM. Tiada keperluan dan tidak kompromi untuk kerajaan mengiktiraf UEC ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Katanya lagi, UEC secara jelas tidak memenuhi ketiga-tiga asas penting yang digariskan dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan, yang menjadi sebab utama tidak wajar diberi pengiktirafan.
Menurutnya, Dasar Pendidikan Negara menetapkan tiga syarat utama yang mesti dipatuhi iaitu mesti menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa penghantar utama; kedua, mesti menggunakan kurikulum kebangsaan dan ketiga, mesti menduduki peperiksaan yang sama seperti SPM atau STPM.
“Tetapi untuk pengetahuan semua sama ada tidak tahu atau sengaja buat-buat tidak tahu UEC tidak menepati ketiga-tiga syarat ini.
“UEC tidak menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama. Ia juga tidak menggunakan kurikulum Kebangsaan, malah kebanyakan kandungannya diambil dari Taiwan. Dan UEC juga tidak menduduki peperiksaan yang sama seperti sistem pendidikan arus perdana SPM dan STPM,” tegasnya.
“Saya hendak maklum dalam dunia ini Malaysia sahaja yang iktiraf ada sistem vernakular, tak perlu pergi tempat lain. Lihat Singapura adakah mereka iktiraf sistem lain daripada sistem kebangsaan mereka? Jawapannya tidak.
“Sepatutnya kamu menjadi menteri patut faham apakah Dasar Pendidikan Negara"..
Apa Reaksi Anda?











