Insiden Pelajar Ditikam Maut: Keselamatan Anak-Anak Kita Tanggungjawab Bersama
Setiausaha Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni Sohar, menzahirkan rasa amat terkejut dan sedih dengan insiden tragis yang menimpa seorang pelajar perempuan yang maut akibat ditikam oleh rakan sekolahnya di SMK Bandar Utama Damansara (4), Petaling Jaya.
Beliau yang juga Pengerusi Biro Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Perhubungan UMNO Negeri Selangor berkata, kejadian itu bukan sahaja menggemparkan masyarakat, tetapi turut menyentuh hati semua ibu bapa yang setiap hari menghantar anak ke sekolah dengan harapan mereka pulang dengan selamat.
“Saya menzahirkan ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga mangsa atas kehilangan insan tersayang. Semoga mereka diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan berat ini,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal ini.
“Saya menyeru semua pihak agar memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan siasatan dengan adil dan profesional serta mengelakkan penyebaran maklumat yang belum disahkan, kerana ia hanya akan menambah trauma kepada keluarga mangsa dan komuniti sekolah,” katanya.
Beliau menegaskan, insiden ini seharusnya menjadi peringatan dan iktibar kepada semua bahawa keselamatan pelajar bukan sekadar tanggungjawab pihak sekolah semata-mata, tetapi juga memerlukan kerjasama ibu bapa, masyarakat dan pihak berwajib.
“Kita perlu memperkukuh pendidikan emosi, kawalan tingkah laku dan kesedaran mental dalam kalangan remaja agar tragedi sebegini tidak berulang,” tegas beliau.
Dalam masa sama, Rosni menyatakan sokongan penuh terhadap usaha Kerajaan Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam meningkatkan tahap keselamatan di sekolah-sekolah serta menyeru Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menilai semula dasar sokongan psikososial dan kaunseling pelajar.
“Pelaksanaan program intervensi awal bagi pelajar berisiko perlu diperkukuh bagi mengesan dan menangani isu emosi atau tekanan yang dihadapi pelajar sebelum ia menjadi lebih serius,” ujarnya.
Rosni menegaskan bahawa UMNO Selangor komited untuk terus menjadi suara keluarga, ibu bapa dan pelajar bagi memastikan setiap sekolah di negeri ini benar-benar menjadi tempat yang selamat, mendidik dan melindungi masa depan anak-anak kita.
Apa Reaksi Anda?











